DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI PENYAYANG

Ya Allah jadilah usahaku ini satu ibadat yang Kauredai....
Ya Allah hilangkan raik, ujub dan sum'ah dalam diri......
Ya Allah jadilah ilmu yang dipinjamkan olehMU sesuatu yang memberi manafaat kepada diriku, suamiku, anak-anakku dan semua manusia dunia dan akhirat ....... AMIN

YA ALLAH JADIKAN SETIAP PERBUATANKU, SUAMI DAN ANAK-ANAK SEBAGAI IBADAT YANG IKHLAS DENGAN LIMPAHAN REDAMU......AMIN

Ya ALLAH, Ampunilah dosa kami, bantulah kami dalam menjaga Akal, Lidah, Hati dan Perbuatan dari perkara-perkara yang boleh mendatangkan KEMURKAAN-MU kepada kami yang sangat lemah. ILMU kami tidak sampai sebesar lubang jarum berbanding dengan lautan luas ciptaan-MU, bahkan kami selalu menurut hawa nafsu biarpun Firman-MU dan Sunnah Kekasih-MU ada dibumi-MU. Permudahkanlah segala urusan kami. Amin


YA ALLAH , SEMUGA ILMU YANG KAUPINJAMKAN INI TERSEBAR DAN DIMURNIKAN SEMULA OLEH PARA PENGUNJUNG BLOG ........ JADIKANLAH ILMU INI BERMANAFAAT BUAT RAKAN-RAKAN PENDIDIK DAN ANAK-ANAK DIDIK SEKALIAN.....AMIN

Sabtu, 5 November 2011

SEKOLAH BEBAS DADAH


Kerajaan berhasrat agar semua sekolah di Malaysia bebas daripada pengaruh dadah . Sebagai ahli kelab pencegahan dadah di sekolah, cadangkan langkah-langkah yang sesuai  dilakukan oleh para pelajar di sekolah anda untuk membantu sekolah anda bebas daripada pengaruh dadah.

Setiap detik kehidupan kita , kita tidak terlepas dari menggunakan dadah . Paracetemol atau lebih popular dengan panggilan panadol yang ditelan setiap kali berasa pening kepala merupakan dadah yang kerap kita gunakan . Pengambilan dadah mengikut sukatan yang ditentukan  oleh pakar perubatan bagi tujuan rawatan penyakit adalah dibenarkan oleh kerajaan.   Namun yang menjadi persoalan ialah pengambilan dadah tanpa kawalan semakin berleluasa malah sudah menjadi satu perniagaan haram yang lumayan bertaraf antarabangsa. Yang menyedihkan , pengambilan dadah dalam kalangan remaja semakin hari semakin ketara peningkatannya.  Berdasarkan statistik Agensi Antidadah Kebangsaan, antara tahun 2000-2008, sebanyak 126,153 penagih baru dikesan . Secara puratanya, setiap tahun antara tahun 2000-2008 tersebut sebanyak 14,017  orang penagih baru dikenal pasti oleh agensi tersebut.  Memandangkan penagihan dadah merupakan isu yang serius maka  langkah pencegahannya telah diperluas ke peringkat sekolah . Program yang diberi nama SEKOLAH SIFAR DADAH 2012 di peringkat sekolah ini bertujuan memberikan pendedahan dan pendidikan awal kepada para pelajar tentang keburukan penagihan dadah kepada manusia. Sehubungan dengan itu, pihak sekolah dikehendaki melaksanakan pelbagai program kesedaran dan pendidikan kepada warganya . Memandangkan tanggungjawab besar yang dipikul di pundak para pendidik untuk merealisasikan hasrat kerajaan, adalah wajar setiap pelajar menggerakkan tenaga membantu sekolah untuk menukar hasrat murni ini menjadi kenyataan. 

Langkah penting yang perlu dilakukan oleh pelajar sekolah ini:

          a.    Mematuhi peraturan sekolah
                                i.            Tidak ponteng sekolah/kelas
                               ii.            Tidak merokok
                             iii.            Tidak membawa telefon bimbit/berhubung dengan orang luar masa pembelajaran dan pengajaran berlangsung.
                             iv.            Tidak membentuk kumpulan samseng/buli di sekolah   

       b.   Aktif dalam kokurikulum
         Pelajar sekolah ini mesti aktif dalam kegiatan kokurikulum agar tidak terlalu banyak masa senggang yang memungkinkan mereka terdedah dengan aktiviti-aktiviti sosial yang tidak berfaedah di luar waktu persekolahan.
·         Aktiviti sosial di luar sekolah
Ø  Melepak di pusat beli belah
Ø  Merempit
Ø  Mengunjungi kelab sosial/disko dan pusat karakoe
Ø  Melayari laman sosial

·         Melalui aktiviti kokurikulum para pelajar sekolah ini
Ø  Memanfaatkan masa bersama-sama rakan sebaya di dalam kawasan sekolah
Ø  Kegiatan para pelajar dipantau oleh guru-guru
Ø  Belajar merencanakan program /aktiviti kokurikulum-banyak masa dihabiskan untuk menyusun program kokurikulum.

c.Pebimbing Rakan Sebaya
Ø  Setiap pelajar sekolah perlu menjadi pembimbing kepada rakan yang bermasalah.
Ø  Saling mengambil berat antara satu sama lain
Ø  Melaporkan perilaku rakan yang pelik kepada pihak sekolah

d. Menjadi mata dan telinga bagi pihak sekolah
Ø  Melaporkan kegiatan  negatif rakan kepada pihak sekolah
§  kegiatan merokok        
§  lokasi semasa ponteng kelas dan sekolah
§  menganggotai RAKAN COP Polis Diraja Malaysia ( mendaftar melalui pihak sekolah )

            e. Menyertai program yang dianjurkan oleh pihak sekolah dengan agensi luar
Ø  “Kempen Tak Nak” kepada rokok
§  Merokok merupakan punca utama pelajar terlibat dalam kegiatan dadah
§  Pelajar biasanya merokok di luar waktu sekolah atau semasa ponteng sekolah
§  Mudah terdedah dengan pengaruh dadah

Ø  Membantu pihak sekolah menganjurkan kempen ini di sekolah
§  Menghadiri ceramah
§  Menampal poster di kawasan sekolah
§  Pertandingan menulis esei, melukis poster.
§  Penyampai maklumat kepada rakan-rakan yang lain

Ø  Menjadi ahli PEMADAM dan pertubuhan bukan kerajaan berkaitan pembanterasan dadah
§  Belajar cara mengenal pasti penagih dadah
§  Mendapatkan panduan tentang  langkah-langkah untuk mencegah diri dari pengaruh dadah

KESIMPULAN
Dadah boleh memusnahkan kehidupan semua orang.
Pembanterasan mesti bermula pada awal usia lagi
Pendidikan perlu disebar luas dalam kalangan pelajar
Semua pihak perlu berusaha menangani isu ini

Undang-undang berkaitan dadah
§  Akta Dadah Berbahaya 1952,
§  Akta Racun 1952,
§  Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan),1983 Pindaan 1998,
§  Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas),1985, dan
§  Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta), 1988.

Pertubuhan Berkaitan Dadah
§  Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) telah ditubuhkan 32 tahun lalu,
§  Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Dasar-dasar kerajaan Malaysia bagi membanteras penyalahgunaan dadah
Dasar Dadah Negara diwujudkan pada 1983 kemudian strategi baru Dasar Dadah Negara diluluskan pada 1996

     


                           
                               


      




Ahad, 23 Oktober 2011

BULAN BAHASA KEBANGSAAN 2011


TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD.YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP PENGERUSI JAWATANKUASA INDUK BULAN BAHASA KEBANGSAAN 2011
DI MAJLIS PELANCARAN BULAN BAHASA KEBANGSAAN 2011
PADA 13 OKTOBER 2011; PUKUL 9.00 PAGI
BERTEMPAT DI UNIVERSITI TEKNIKAL MALAYSIA,  MELAKA

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

1.      Terlebih dahulu, marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya jua, kita dapat berhimpun bersama-sama dalam Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2011. Bersempena dengan majlis ini, saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Bulan Bahasa Kebangsaan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka, khususnya YAB Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka, yang sudi menjadi tuan rumah sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun ini. Saya juga mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Melaka yang telah melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan di setiap daerah. Ini adalah satu inisiatif yang amat baik dalam usaha kita untuk menyemarakkan semangat cinta kepada bahasa Kebangsaan di segenap lapisan masyarakat di negara kita.

2.      Bulan Bahasa Kebangsaan yang kita raikan saban tahun bukan sekadar satu acara tahunan. Lebih dari itu, sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan adalah sebahagian daripada rantaian perjuangan yang panjang dalam memartabatkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan di negara kita. Saya katakan satu perjuangan kerana bahasa Melayu tidak akan berada pada darjat yang semulia ini tanpa perjuangan para pejuang bangsa kita yang terdahulu.

3.      Ketika negara kita masih di bawah penjajahan Inggeris, bahasa Inggeris berada pada kedudukan yang amat tinggi. Ianya digunakan dalam segala urusan rasmi dan juga sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah Inggeris. Mereka yang mengikuti pendidikan Inggeris biasanya mendapat peluang pekerjaan dan peluang ekonomi yang lebih baik berbanding mereka yang bersekolah aliran Melayu dan aliran bahasa ibunda yang lain.

4.      Namun, di luar lingkungan pejabat kerajaan dan sekolah-sekolah Inggeris, bahasa yang digunakan secara meluas bukanlah bahasa Inggeris, tetapi bahasa Melayu dan juga bahasa ibunda kaum-kaum lain. Oleh kerana peluang ekonomi dan status sosial dikaitkan dengan kemahiran berbahasa Inggeris, maka hanya seglintir sahajalah yang mendapat peluang untuk memajukan diri dengan menguasai bahasa Inggeris. Sebahagian besar penduduk Tanah Melayu ketika itu terus dicengkam kemunduran.

5.      Apabila negara kita mencapai kemerdekaan, para pemimpin kita yang terdahulu telah bersepakat menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi negara, sementara bahasa-bahasa ibunda yang lain boleh digunakan di luar urusan rasmi. Dalam konteks Tanah Melayu sebagai sebuah negara pasca-kolonial pada ketika itu, penerimaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dilihat amat penting dalam usaha memupuk perpaduan kaum dan membina sebuah negara bangsa yang bersatu padu. Bermula dengan termaktubnya Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan, diikuti dengan penggubalan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1959, kemudiannya Akta Bahasa Kebangsaan pada tahun 1967, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi telah terpahat kukuh dalam perlembagaan dan undang-undang negara.

6.      Namun, perjuangan memartabatkan bahasa Melayu tidak terhenti setakat itu sahaja. Kedudukan bahasa Melayu kemudiannya dimantapkan lagi dengan pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan. Sekolah-sekolah yang dahulunya menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar telah diwajibkan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya. Manakala sekolah-sekolah vernakular dibenar menggunakan bahasa ibunda masing-masing dengan harapan suatu hari nanti sekolah-sekolah ini juga akan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.

7.      Pada peringkat awalnya, terdapat suara-suara yang tidak yakin dengan kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah. Ada yang menganggap bahasa Melayu adalah bahasa yang mundur. Bagi mereka bahasa Melayu tidak akan mampu mengungkapkan konsep-konsep ilmu moden yang diperlukan oleh bangsa kita untuk maju.


8.      Andaian golongan ini ternyata meleset. Semenjak bahasa Melayu digunakan sebagai pengantar dalam sistem pendidikan kita, termasuk pada ketika itu di Universiti Malaya dan kemudiannya Universiti Kebangsaan Malaysia, berbondong-bondong pelajar dari segenap ceruk rantau berjaya memasuki universiti. Peluang melanjutkan pelajaran ke universiti bukan lagi menjadi milik ekslusif anak-anak golongan bangsawan dan hartawan, tetapi juga menjadi milik anak-anak petani, anak-anak nelayan, pekebun, peniaga kecil, pekerja estet, buruh kasar, guru, kerani dan lain-lain. Mereka mempelajari ilmu-ilmu moden dalam bahasa Melayu dan kemudiannya menguasai bahasa Inggeris.

9.      Mereka inilah kemudiannya menjadi generasi awal rakyat tempatan yang mengisi keperluan tenaga kerja dalam sektor profesional. Dengan mendapat peluang pendidikan yang berkualiti dalam bahasa kebangsaan, anak-anak bangsa kita telah berjaya memajukan diri dan menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara yang pesat.

10.  Jelasnya, pemeluasan kelas menengah secara besar-besaran dan kemajuan pesat negara kita dicapai selepas bahasa kebangsaan menggantikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan kita. Bukankah ini satu bukti yang terang lagi nyata tentang kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan. Janganlah kerana ketaksuban kita kepada bahasa asing menyebabkan kita mempunyai pandangan yang juling terhadap bahasa kebangsaan kita sendiri.

11.  Sebetulnya juga, banyak negara yang telah maju, atau yang sedang berkembang maju, berjaya menempa kemajuan tanpa meminggirkan bahasa kebangsaan masing-masing. Negara-negara ini mementingkan penguasaan bahasa Inggeris, tetapi tidak sekali-kali menggantikan tempat bahasa kebangsaan mereka dengan bahasa Inggeris. Malah, daripada lapan ekonomi gergasi dunia, iaitu negara-negara G7 dan China, hanya tiga buah negara sahaja, iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada yang rakyatnya berbahasa Inggeris. Malah rakyat Kanada juga sebahagiannya berbahasa Perancis, manakala di United Kingdom sebahagian rakyatnya berbahasa Welsh, Scottish dan Irish.
12.  Dalam kalangan negara-negara Brazil, Russia, India dan China atau BRIC, iaitu negara-negara yang sedang berada pada tahap kemajuan ekonomi paling rancak, hanya India sahaja tidak mengekalkan bahasa sendiri. Kebanyakan negara-negara Nordik yang maju juga mengekalkan bahasa masing-masing. Daripada empat negara Ekonomi Perindustrian Baru di Asia Timur, hanya Singapura sahaja yang tidak mengekalkan bahasa ibunda.

13.  Jika kita meneliti perkembangan di negara-negara yang sudah maju, atau yang sedang berkembang maju, kita akan dapati bahawa bahasa Inggeris adalah satu bahasa yang penting, tetapi bukanlah satu-satunya bahasa yang menjamin kemajuan. Negara China tidak menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikannya semata-mata kerana mahu meraih laba globalisasi. Mereka menyanjungi bahasa kebangsaan negara mereka, malah menghormati bahasa kebangsaan negara-negara lain.

14.  Ketika saya melawat negara China baru-baru ini, mereka meminta saya supaya bertutur dalam bahasa Melayu yang kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa Cina, walaupun mereka boleh berbahasa Inggeris. Ini menunjukkan betapa sebuah negara yang telah menempa kemajuan, sebuah negara yang telah berjaya membina peradaban sejak ribuan tahun lampau, menghormati bahasa kebangsaan.
15.  Saya percaya, yang penting ialah sikap kita terhadap bahasa kebangsaan. Kita perlu yakin dengan kemampuan bahasa kebangsaan kita sendiri sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan. Kerana itu, Dasar Pendidikan Kebangsaan menetapkan bahasa kebangsaan adalah bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan di negara kita. Bayangkan sekiranya bahasa kebangsaan tidak lagi digunakan di sekolah dan di universiti. Perkembangan bahasa kebangsaan pastinya akan terbantut dan tamatlah riwayat bahasa kita sebagai bahasa ilmu.

16.  Apabila bahasa kita tidak lagi mempunyai apa-apa nilai yang dikaitkan dengan ilmu dan kemajuan, lama-kelamaan ianya akan menjadi bahasa pasar atau bahasa jalanan sahaja. Lebih malang sekiranya bahasa kita tidak lagi dipertuturkan orang dan pupus begitu sahaja. Pupus bahasa, pupuslah bangsa. Saya menimbulkan kebimbangan ini bukan kerana mahu bersikap pesimis terhadap nasib masa depan bahasa kebangsaan. Tetapi bak kata pepatah Melayu, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

17.  Sebagai Menteri Pelajaran, saya memikul satu amanah yang berat untuk terus mempertahan dan memperkukuhkan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama. InsyaAllah, dengan sokongan anda semua, amanah ini akan saya galas sedaya upaya saya.
Angin berputar ombak bersahut
Membujur lalu melintang patah
Usahlah kita kelam kelibut
Amanah bangsa dijulang megah                   

18.  Dalam melestarikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar perlu diperluaskan ke peringkat pengajian tinggi. Ketika berkunjung ke Universiti Kebangsaan Malaysia baru-baru ini, saya menegaskan tentang peri pentingnya Universiti Kebangsaan Malaysia, yang ditubuhkan di atas semangat dan keringat para pejuang bahasa, supaya mempertahankan peranan dan fungsi asalnya sebagai insitusi keilmuan yang memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Sehubungan itu, saya menyarankan supaya UKM terus melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Melayu, termasuk dalam bidang sains dan teknologi, serta menggalakkan para pensyarah menerbitkan karya-karya ilmiah dalam bahasa Melayu. Usaha ini perlu juga dicontohi oleh universiti-universiti lain.


19.  Kita memahami bahawa penerbitan dalam bahasa Inggeris adalah penting untuk meningkatkan penarafan universiti di peringkat antarabangsa. Tetapi ini tidak bermakna kita harus meminggirkan penerbitan karya-karya ilmiah dalam bahasa Melayu. Adalah lebih baik sekiranya karya-karya ilmiah, terutamanya dalam bidang sains dan teknologi diterbitkan dalam bahasa Melayu untuk tatapan rakyat terbanyak. Dengan itu akan berlakulah limpahan ilmu yang lebih luas dalam kalangan masyarakat yang pastinya akan mendorong lebih banyak cetusan kreativiti dan inovasi rakyat.
20.  Pada masa kini, daripada hampir 15,700 judul buku yang diterbitkan di negara kita, hanya terdapat sekitar 3,900 judul buku sains dan teknologi. Jumlah buku ilmiah dalam bidang sains dan teknologi yang bertaraf ilmu tinggi dalam bahasa Melayu adalah amat sedikit. Sekiranya kita benar-benar mahu menyebarluaskan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, terutamanya dalam bidang sains dan teknologi, maka jumlah buku-buku ilmiah sains dan teknologi dalam bahasa Melayu perlu diperbanyakkan.

21.  Sehubungan itu, sukacita saya mengumumkan kerajaan melalui Dewan Bahasa dan Pustaka, akan mewujudkan dana berjumlah 2 juta ringgit bermula tahun 2012 untuk menggalakkan penerbitan buku-buku ilmiah sains dan teknologi bertaraf ilmu tinggi dalam bahasa Melayu. Setiap penulis yang menghasilkan buku-buku ini yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka akan menerima ganjaran sebanyak RM20,000 selain bayaran royalti yang biasa diterima. Pihak Dewan Bahasa dan Pustaka akan menentukan karya-karya yang layak diterbitkan berdasarkan manuskrip yang dihantar dan memberi ganjaran kepada penulis yang berjaya.

22.  Selain memperkasakan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, fungsinya sebagai bahasa rasmi, khususnya dalam pentadbiran dan urusan rasmi kerajaan, perlu dimantapkan. Sehubungan itu, kabinet telah bersetuju supaya semua penjawat awam diwajibkan menggunakan bahasa kebangsaan dalam segala urusan rasmi sama ada mesyuarat, surat-menyurat, seminar dan lain-lain. Untuk memastikan arahan ini dipatuhi, Pekeliling Perkhidmatan berkaitan Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam akan dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.

23.  Penguatkuasaan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul di tempat-tempat awam juga perlu diberikan perhatian utama oleh pihak-pihak berkuasa tempatan. Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan penghargaan kepada dua pihak berkuasa tempatan, iaitu Majlis Perbandaran Melaka Bandar Raya Bersejarah dan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur yang telah mewajibkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul pada papan-papan iklan di tempat awam. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada kedua-dua pihak berkuasa tempatan ini atas komitmen yang ditunjukkan dalam usaha untuk menguatkuasakan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul.

24.  Syarikat-syarikat berkaitan kerajaan juga perlu turut sama menyebarluaskan penggunaan bahasa kebangsaan dalam organisasi masing-masing. Saya menyeru syarikat-syarikat berkaitan kerajaan supaya turut memainkan peranan penting dalam usaha memperkasa bahasa kebangsaan dalam segala urusan syarikat. Sewajarnya syarikat-syarikat berkaitan kerajaan mempelopori usaha menyokong agenda nasional untuk memartabatkan bahasa kebangsaan dalam bidang-bidang berkaitan perbankan, kewangan, perdagangan, perniagaan, pembuatan dan lain-lain perkhidmatan. Sama-samalah kita berganding bahu dalam menjayakan usaha memperluaskan penggunaan bahasa kebangsaan di negara kita.

25.  Anggota masyarakat juga perlu sentiasa mempunyai sikap yang positif terhadap bahasa kebangsaan. Ini bermakna, kita perlu memupuk rasa cinta dan bangga terhadap bahasa kebangsaan. Ungkapan “Bahasa Jiwa Bangsa” perlu benar-benar dijiwai oleh kita semua supaya kita merasakan bahawa bahasa kebangsaan adalah milik kita bersama. Justeru ,saya amat berharap agar kempen Bulan Bahasa Kebangsaan ini dapat memupuk sikap positif rakyat terhadap bahasa kebangsaan.
26.  Akhir kata, saya selaku pengerusi Jawatankuasa Induk Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun ini. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada penerima Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Antarabangsa, Professor Wu, di atas sumbangan besar beliau terhadap usaha mengembangkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa, khususnya di negara China. Mudah-mudahan dengan sumbangan yang beliau curahkan ini, bahasa Melayu akan terus unggul di persada dunia.
      Dengan lafaz “Bismillahirrahmanirrahim” saya dengan sukacitanya     
      melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan 2011.
            Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi    
           wabarakatuh.