DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI PENYAYANG

Ya Allah jadilah usahaku ini satu ibadat yang Kauredai....
Ya Allah hilangkan raik, ujub dan sum'ah dalam diri......
Ya Allah jadilah ilmu yang dipinjamkan olehMU sesuatu yang memberi manafaat kepada diriku, suamiku, anak-anakku dan semua manusia dunia dan akhirat ....... AMIN

YA ALLAH JADIKAN SETIAP PERBUATANKU, SUAMI DAN ANAK-ANAK SEBAGAI IBADAT YANG IKHLAS DENGAN LIMPAHAN REDAMU......AMIN

Ya ALLAH, Ampunilah dosa kami, bantulah kami dalam menjaga Akal, Lidah, Hati dan Perbuatan dari perkara-perkara yang boleh mendatangkan KEMURKAAN-MU kepada kami yang sangat lemah. ILMU kami tidak sampai sebesar lubang jarum berbanding dengan lautan luas ciptaan-MU, bahkan kami selalu menurut hawa nafsu biarpun Firman-MU dan Sunnah Kekasih-MU ada dibumi-MU. Permudahkanlah segala urusan kami. Amin


YA ALLAH , SEMUGA ILMU YANG KAUPINJAMKAN INI TERSEBAR DAN DIMURNIKAN SEMULA OLEH PARA PENGUNJUNG BLOG ........ JADIKANLAH ILMU INI BERMANAFAAT BUAT RAKAN-RAKAN PENDIDIK DAN ANAK-ANAK DIDIK SEKALIAN.....AMIN

Sabtu, 27 November 2010

HASIL PENULISAN PELAJAR 2009

ISI KANDUNGAN

1. USHA-USAHA MEMARTABAKAN BATIK MALAYSIA

2. PENDIDIKAN MAYA DI NEGARA MALAYSIA

3. KEMPEN GALAKAN MEMBACA -KARANGAN BERPANDU

4. SEPERTI ENAU DALAM BELUKAR, MELEPASKAN PUCUK MASING-MASING


USAHA-USAHA MEMAJUKAN INDUSTRI BATIK DI MALAYSIA


Soalan : Batik Malaysia masih kurang mendapat tempat dan sambutan dalam kalangan masyarakat Malaysia dan antarabangsa. Bincangkan usaha-usaha yang dapat diambil untuk memartabatkan batik Malaysia.

Batik merupakan satu kraf tangan yang unggul di Malaysia. Sejarah mengatakan sejak abad ke 15 Masihi lagi manusia telah menemui kaedah pembuatan batik secara tradisional. Pada masa dahulu, masyarakat Melayu menggunakan ubi kentang sebagai alat pengecap tetapi kini kain batik telah diusahakan dengan menggunakan alat-alat moden. Perusahaan batik telah mula di negara kita khususnya di negeri Kelantan sejak tahun 1910 lagi. Batik berasal dari Indonesia dan terbit dari perkataan Jawa ‘tik’ yang bermaksud menitik atau menulis titik-titik. Selain itu, batik juga dikenali sebagai ambatik yang bermaksud melukis, menulis, mewarna atau menitik. Industri batik di Malaysia dirintis oleh Su Ishak di Kelantan pada tahun 1911. Di alam Melayu pula, sejenis batik yang dipanggil Batik Pelangi telah diperkenal sejak tahun 1770-an lagi. Di Malaysia kebanyakan kilang perusahaan batik banyak terdapat di Kelantan dan Terengganu.

Seni batik merupakan satu daripada akar budaya yang menjadi identiti bangsa Malaysia. Walaubagaimanapun, industri batik ini mula merudum tetapi dimartabatkan semula pada tahun 2003 atas usaha Datin Seri Endon Mahmood. Sememangnya, bukan mudah untuk membina identiti bangsa dan mendaulatkan maruah bangsa. Justeru, langkah proaktif dan berterusan perlu diambil demi memartabatkannya kembali.

Dalam usaha memartabatkan industri seni batik di Malaysia, pihak kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk mempromosikan industri ini. Ungkapan peribahasa ‘tak kenal maka tak cinta’ menggambarkan betapa pentingnya aktiviti promosi yang agresif untuk memperkenalkan seni batik kepada masyarakat di Malaysia yang semakin meminggirkan tradisi dan budaya. Hal ini demikian kerana masyarakat di negara kita kurang didedahkan dengan amalan tradisi mahupun kraf tangan yang menjadi warisan nenek moyang kita terdahulu. Kerajaan telah menguatkuasakan agenda baru dalam kalangan penjawat awam iaitu mereka diwajibkan memakai pakaian batik pada setiap hari Khamis dan di majlis-majlis rasmi. Secara tidak langsung, masyarakat kita akan membuka mata dan memikirkan signifikannya pewajiban pemakaian batik dalam kalangan penjawat awam dan motif sebenar kerajaan menguatkuasakan peraturan ini.

Usaha kerajaan ini juga mendapat sambutan dan sokongan daripada Perbadanan Kemajuan Kraftangan dan Perbadanan Kemajuan Luar Malaysia demi merealisasikan hasrat yang sama iaitu mengembalikan keagungan seni batik. Institut Kraf Negara(IKN) merupakan salah satu agensi bagi membantu mencapai matlamat ini. IKN merupakan pusat kecemerlangan pendidikan kraf yang dapat melahirkan tenaga mahir berteknologi terkini, usahawan kraf dan menjadi pusat rujukan, penyelidikan serta pemuliharaan warisan negara. Dalam hal ini, IKN dapat membantu melatih pengusaha batik yang baru dan ingin menambah ilmu dalam industri ini. Selain itu, kerajaan juga telah memperkenalkan Skim Intensif Galakan Dagangan yang bertujuan untuk membantu usahawan kraf menerokai pasaran baru di Timur Tengah seperti di United Arab Emirates(UAE). Dalam erti kata lain, dengan adanya agenda kerja yang tersusun dan sempurna, misi memartabatkan seni batik ini pasti dapat dicapai.

Peribahasa Melayu ada menyebut, ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, dimanakan dapat sagunya’ yang membawa maksud, tanpa usaha kita tidak akan dapat hasilnya. Dalam memartabatkan industri seni batik, usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) haruslah giat dilaksanakan. Agensi-agensi kerajaan seperti institut pengajian tinggi awam(IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta(IPTS) mestilah bijak mengambil langkah yang progresif demi membantu menaiktarafkan batik Malaysia. Misalnya, IPTA dan IPTS boleh memperkenalkan atau menawarkan matapelajaran seni kebudayaan batik kepada para pelajar di institut-institut tersebut. Universiti Teknologi Mara(UiTM) merupakan contoh universiti yang mempunyai fakulti seni tekstil ; di sini pelajar dilatih untuk menghasilkan batik. Di samping itu, IPTA dan IPTS juga boleh menganjurkan forum ceramah apresiasi batik dan pameran batik bertujuan untuk melahirkan pengusaha batik yang berkualiti dan mencambahkan kreativiti mereka dalam menghasilkan batik. Sekali lagi Institut Kraf Negara(IKN) memainkan peranan yang penting dalam melatih tenaga mahir dalam industri pembuatan batik dan mengenal pasti corak batik terkini yang menembusi pasaran baharu. Jelaslah di sini bahawa usaha yang mapan dan agresif banyak membantu usaha memartabatkan dan mengglobalkan seni batik.

Selain itu, program promosi dan pemasaran yang agresif juga boleh melicinkan lagi usaha kerajaan dalam mengembalikan kegemilangan seni batik di Malaysia. Perbadanan Kraf Tangan Malaysia telah mengambil langkah yang responsif dan drastik dengan mengadakan promosi yang berterusan di dalam dan di luar negara. Seni batik mula menapak di pasaran antarabangsa apabila batik menerjah ke seantero dunia apabila kerajaan berjaya mendapatkan tempat pameran baru yang sangat berpengaruh dan popular iaitu di Harrods,London. Pepatah ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’ menggambarkan betapa keras usaha kerajaan dalam memurnikan usaha memartabatkan seni batik yang sangat bernilai ini.Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negara turut memainkan peranan dengan mengadakan promosi dan jualan di pusat beli-belah, hotel, lapangan terbang, dan lain-lain tempat. Di samping itu, usaha Datin Seri Endon Mahmood juga mendapat sokongan daripada pihak kerajaan demi memurnikan hasrat melonjakkan industri batik di negara kita. Hasilnya, pada tahun 2003, hasil jualan batik ialah RM33 juta dan meningkat kepada RM39.7 juta pada tahun 2004. Sememangnya, usaha yang padu daripada pelbagai pihak dapat memendekkan masa untuk mencapai misi memartabatkan industri batik negara kita.

Di samping usaha-usaha yang giat dilaksanakan, pengusaha batik turut memainkan peranan yang sangat penting. Pengusaha perlulah berani menanam modal demi menjalankan perniagaan mereka dan rajin menimba ilmu baharu seperti kata pepatah Melayu,’berkayuh sambil bertimba’. Selain itu, pengusaha juga boleh mengadakan kesepakatan dan kerjasama dalam kalangan pengusaha batik dan agensi kerajaan dengan mewujudkan institusi latihan batik. Usaha ini sememangnya dapat memenuhi dasar kerajaan dan aspirasi rakyat apabila terhasilnya batik yang berkualiti dengan wujudnya kerjasama yang dijalinkan.

Kesimpulannya, mutiara berharga seperti seni batik yang menjadi identiti bangsa dan warisan tradisi ini wajar dipertimbangkan supaya tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Pada masa hadapan, generasi muda akan datang menghayati dan berbangga akan budaya tempatan yang dikekalkan untuk sekian lamanya. Sudah sampai masanya industri batik tempatan yang diusahakan secara turun temurun ini beralih kepada industri berdaya saing dan menampilkan kewibawaan bangsa. Semoga warisan tradisi khazanah bangsa terpelihara agar keindahan yang terpancar melaluinya tidak terus dilupakan oleh generasi yang akan datang dan dihormati di peringkat antarabangsa.

( 920 patah kata )

NURDARINA MAISARAH 5 CERDIK




PENDIDIKAN MAYA

Soalan :

Dalam usaha kerajaan memartabatkan sistem pendidikan agar bertaraf dunia, sistem pengajaran dan pembelajaran secara maya telah diperkenalkan di sekolah dan institusi pengajian tinggi. Bincangkan kelebihan-kelebihan pendidikan maya dan usaha-usaha untuk menggalakkan penggunaan pendidikan maya.

Pepatah ada mengatakan ‘zaman beralih, musim bertukar’,sememangnya tidak dapat dinafikan lagi pendidikan konvensional kini telah bertukar wajah. Sistem pendidikan maya telah diperkenalkan di negara kita atas usaha kerajaan untuk memartabatkan lagi sistem pendidikan kita agar bertaraf dunia. Sistem ini bertujuan untuk melonjakkan taraf pendidikan rakyat Malaysia agar setanding dengan sistem pendidikan di negara-negara maju dan juga untuk meningkatkan sistem pengajaran dan pembelajaran agar boleh diaplikasikasikan di seluruh dunia.Pendidikan maya merupakan satu bentuk pendidikan masa depan yang akan memaksimumkan penggunaan Teknologi dan Maklumat dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pendidikan maya dapat ditakrifkan sebagai sistem pengajaran dan pembelajaran yang melepasi sempadan bilik kuliah atau kelas di sekolah. Jika kita menerobosi secara terperinci tentang sisitem pendidikan maya ini, banyak kelebihan yang bakal kita dapati.

Dalam hal ini, pendidikan maya membolehkan para pelajar mengikuti tutorial tanpa perlu terikat dengan waktu pembelajaran di dalam kelas. Hal ini kerana, para pelajar dapat menghadiri mana-mana sidang dimana-mana sahaja tanpa mengira waktu. Pembelajaran secara asinkronis ini memudahkan lagi para pelajar untuk melakukan perbincangan pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja tanpa perlu duduk setempat bersama-sama. Hasilnya, lebih banyak informasi dapat digali dan pelbagai idea baru dapat ditunasi. Selain itu, sitem ini turut membuka peluang untuk para pelajar berinteraksi menggunakan internet dan juga e-mel. Hal ini secara tidak langsung dapat menjimatkan lagi masa para pelajar.

Dalam nada yang serupa, menerusi sistem pendidikan maya, para pelajar dapat menggunakan E-buku yang boleh dimuat turun secara langsung dari alam maya. E-Buku mempunyai pelbagai aplikasi. Antaranya termasuklah pemprosesan kata, hamparan data, senarai kandungan, kalendar dan sebagainya. Dengan e-buku itu, para pelajar tidak perlu membawa buku yang banyak. Penggunaan buku elektronik ini dijangka dapat mengurangkan kos bagi Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) di sekolah dalam jangka masa yang panjang. Penggunaan e-buku mampu menangani kepelbagaian masalah pelajar dalam bidang akademik di dalam sesebuah kelas. E-buku menjadi suatu wahana dengan pendekatan interpersonal antara guru dengan pelajar. Sebagai seorang pelajar, internet juga boleh dijadikan sebagai medium rujukan. Malahan, internet juga dianggap sebagai perpustakaan maya yang menyimpan khazanah ilmu pengetahuan. Maklumat yang diperoleh lebih cepat, mudah dan dapat menjimatkan masa.

Di samping itu, para pelajar terutama di peringkat pengajian tinggi tidak perlu lagi bersemuka dengan pensyarah. Sebagai contoh Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) membolehkan para pensyarah mengendalikan telesidang yang menggabungkan audio, video dan grafik dapat dilakukan di lokasi yang berbeza dengan peralatan canggih dan didengari ramai tanpa melibatkan kos yang tinggi. Malahan, konsep universiti terbuka seperti Universiti Tun Abdul Razak dapat dirancakkan lagi kewujudannya tanpa pelajar perlu bersua muka dengan pensyarah seperti masa ini. Dalam hal ini, golongan seperti suri rumah dan pesara dapat terus melanjutkan pelajaran tanpa perlu menghadirkan diri di institusi pendidikan. Hal ini secara tidak langsung dapat memanifestasikan slogan pendidikan sepanjang hayat yang digalakkan oleh kerajaan. Seterusnya, pendidikan secara maya juga dapat menjimatkan pelbagai kos kehidupan seperti penginapan dan pembelanjaan. Hal ini kerana pendidikan maya boleh dilakukan di rumah. Hal ini secara tidak langsung telah menjimatkan kos perbelanjaan dan penginapan para pelajar.

Demi melonjakkan lagi sistem pendidikan di negara kita, pelbagai usaha telah dilakukan untuk menggalakkan pendidikan maya dalam kalangan masyarakat. Antara usaha yang telah di lakukan ialah menaik taraf sekolah dan institut pengajian tinggi. Kementerian Pelajaran telah melaksanakan Pelan Induk Pembangunan dan Pendidikan (PIPP) yang bertujuan untuk menghasilkan pendidikan yang berkualiti untuk semua lapisan masyarakat.Menerusi teras yang keenam Pelan Induk Pembangunan dan Pendidikan, Kementerian Pelajaran berhasrat untuk melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan tidak kira sama ada sekolah mahupun institusi pengajian tinggi. Sebagai contoh, menerusi PIPP, sebanyak 60 buah sekolah telah dinaik taraf sebagai sekolah kluster.Skolah Kluster dapat disignifikasikan sebagai satu jenama yang diberi kepada sekolah yang dikenal pasti kecemerlangannya dalam klusternya daripada aspek pengurusan sekolah dan kemenjadian murid. Penggunaan kemudahan teknologi maklumat yang disediakan perlu diikuti oleh semua pelajar sekolah kluster. Misalnya, beberapa sekolah kluster telah mengambil beberapa langkah untuk mempraktikkan pendidikan maya dalam proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah seperti menghantar tugasan melalui e-mel dan juga melakukan pembentangan melalui pengunaan komputer. Para pelajar juga digalakkan untuk menguasai perisian komputer seperti Microsoft Words, Microsoft Power Point dan sebagainya. Di samping itu, banyak universiti telah diiktiraf sebagai Universiti penyelidikan seperti Universiti Malaya dan juga Unversiti Sains Malaysia untuk melonjakkan lagi sistem pendidikan di negara kita.

Kesimpulannya, sememangnya pendidikan maya memberikan pelbagai kelebihan kepada seluruh lapisan masyarakat. Umum mengetahui bahawa bentuk pengaajaran dan pembelajaran yang baharu membolehkan rakyat meningkatkan kemahiran dan kelayakan akademik. Pelaksanaan sistem pendidikan maya di negara kita dapat meluaskan lagi horizon minda para pelajar. Para pelajar akan lebih terdedah dengan dunia globalisasi sekiranya pendidikan maya dilaksnakan secara menyeluruh. Walaupun usia telah meningkat ilmu pengetahuan tetap dapat dikuasai. Konsep pembelajaran sepanjang hayat menerusi pendidikan sedemikian patut dimanfaatkan oleh semua bertunjangkan pepatah ‘ sebab mutiara sebiji, lautan dalam diselami orang’. Selain itu pelbagai pihak tidak kira pihak swasta mahupun badan bukan kerajaaan (NGO) perlulah berganding bahu bersama kerajaan untuk membangunkan lagi sistem pendidikan di negara kita agar ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’ dengan negara-negara maju yang lain.


ADILAHNUR YAHYA 5 CERDIK

(810 patah perkataan)




KEMPEN GALAKAN MEMBACA ( KARANGAN BAHAGIAN A- BERPANDU GRAFIK
KEMPEN GALAKAN MEMBACA DALAM KALANGAN RAKYAT MALAYSIA.

Para ahli bijak pandai ada menyatakan bahawa orang yang mendapat kebahagiaan hidup ialah orang yang menimba ilmu pengetahuan. Ada juga yang beranggapan bahawa kejayaan seseorang diukur berdasarkan kekuatannya tetapi sebenarnya ‘kekuatan’ itu merujuk kepada kekuatan dan kekayaan ilmu pengetahuan. Bagaimanakah lagi caranya untuk memperkaya ilmu pengetahuan? Tentulah melalui jambatan ilmu iaitu membaca.

Marcapada ini, pelbagai kempen galakan membaca sedang dan telah dilaksanakan di negara ini, namun keberkesanan kempen masih tidak menyeluruh kerana tidak mendapat sambutan masyarakat. Masa inilah saatnya untuk tenaga semua pihak yang bersepadu digemblengkan bagi membentuk masyarakat yang gemar membaca.Minat membaca dalam setiap ihsan seharusnya dipupuk sejak kecil lagi. Para ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak-anak kerana kanak-kanak seperti sehelai kain putih, ibu bapalah yang mencorak dan mewarnai kehidupannya. Oleh itu, ibu bapa hendaklah mewujudkan suasana membaca di rumah dan menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak dengan amalan membaca , bukan sahaja sekadar hobi tetapi untuk mencari maklumat tentang sebarang perkara yang tidak diketahui juga. Didiklah anak-anak supaya menjadi ihsan yang cemerlang kerana anak-anak semasa kecil mudah diajar dan dibentuk, bak kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Selain itu, pihak sekolah juga sedikit sebanyak memainkan peranan penting dalam mendidik ihsan kelas pertama supaya gemar membaca. Pada tahun 2002, Kementerian Pendidikan dan Pelajaran Malaysia telah melancarkan Program NILAM di setiap sekolah. Kempen ini bertujuan untuk mengisi masa lapang para pelajar dan mengelakkan mereka terjebak dalam gejala negatif, di samping menambahkan lagi ilmu pengetahuan murid-murid. Sehingga kini, pihak sekolah masih menjalankan sesi pembacaan iaitu akitiviti NILAM di sekolah dan menjadikan pusat sumber sekolah sebagai satu tempat rujukan maklumat serta dimuatkan dalam jadual kelas untuk pergi ke perpustakaan sekali-sekala. Usaha yang mulia ini perlu ditingkatkan lagi dengan berlipat ganda kerana murid-murid masih sukar dan tidak gemar melakukan aktiviti membaca. Sebaliknya, mereka lebih suka menggunakan ICT untuk menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi.

Tidak lupa juga kepada pihak media massa dan elektronik pada masa ini. Peranan mereka dalam menjayakan kempen galakan membaca amat besar kerana media massa dan elektronik berperanan sebagai ‘Penyebar maklumat untuk negara’. Hal ini telah dibuktikan melalui penyebaran ilmu melalui surat khabar, majalah, tayangan televisyen, siaran radio dan juga ruangan siber di Internet. Pada zaman teknologi dan maklumat ini, masyarakat menggunakan bahan-bahan elektronik sekurang-kurangnya enam jam sehari dan mereka lebih menumpukan perhatian pada berita-berita hangat dan cerita-cerita sensasi yang dipaparkan oleh media massa terutamanya surat khabar. Oleh yang demikian, pihak media massa dan elektronik perlu menyeru dan menggesa masyarakat supaya membaca dan menyatakan sekali kebaikan-kebaikan membaca. Jika pihak media massa berbuat demikian, tentulah masyarakat negara ini akan menuruti tuntutannya. Begitulah besarnya pengaruh media massa dan elektronik dalam kehidupan masyarakat.

Dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak, minat membaca ternyata menurun dengan drastik. Kesedaran terhadap minat membaca terbukti menurun dengan begitu ketara sekali dalam kalangan dewasa khusunya mereka yang tidak terlibat dengan bidang pendidikan. Hal ini dapat dibuktikan dengan keberkesanan kempen yang masih tidak menyeluruh kerana tidak mendapat sambutan daripada masyarakat. Apabila memasuki alam pekerjaan, kesibukan tugas dan kesuntukan masa menjadi hambatan utama seseorang itu kurang berminat untuk membaca. Sekiranya ada yang berminat, pembacaan mereka sekadar mengisi ruang kosong dalam masa senggang sahaja. Bahan bacaan yang dipilih pula hanya bahan-bahan ringan dan bahan hiburan. Sindrom ini sebenarnya menjurus ke arah pembentukan bangsa yang lemah, jumud dan tidak bermaklumat. Kejumudan dalam berfikir yang dipengaruhi sikap tidak gemar membaca dapat menjejaskan kemajuan negara dalam arus globalisasi yang mementingkan pemerolehan maklumat terkini.


Oleh yang demikian, langkah yang proaktif dan kondusif perlu diambil untuk meningkatkan keberkesanan kempen dan secara tidak langsung menyedarkan masyarakat Negara kini tentang kepentingan dan faedah membaca.Intihanya, semua pihak yang bertanggungjawab dan berautoriti perlulah segera bekerjasama sepetri aur dengan tebing untuk memastikan minat membaca dalam sanubari setiap insan tidak lupus dek teknologi moden yang sedang berkembang dengan deras dan maju seiring dengan pembangunan dan perkembangan negara. Setiap insan juga perlu berusaha sendiri untuk menggiatkan lagi aktiviti membaca dalam proses melahirkan dan membentuk pelapis generasi akan datang dan juga pemimpin berwibawa yang berkaliber dan berwawasan tinggi serta mempunyai ilmu pengetahuan yang dalam dan tiada tandingannya kecuali dengan Tuhan. Menurut Saidina Ali bin Abi Talib, berdagang dengan ilmu lebih baik daripada berdagang dengan harta; ilmu akan bertambah jika diperdagangkan, manakala harta pula akan berkurangan jika diperdagangkan. Oleh itu, marilah kita sama-sama menyambut kempen galakan membaca yang dilaksanakan oleh kerajaan dengan hati yang terbuka dan muka yang manis.

SITI NABILAH AMIRAH4 BIJAK SSI, 2009





PERIBAHASA ‘SEPERTI ENAU DALAM BELUKAR MELEPASKAN PUCUK MASING-MASING’ DALAM KONTEKS MASYARAKAT PADA HARI INI.

“Seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”, peribahasa ini merujuk pada masyarakat yang tidak semuafakat dalam perbincangan dan hanya berpegang pada pendapat masing-masing sahaja. Begitulah sikap masyarakat yang ada di negara ini pada masa ini. Peribahasa ini jelas menunjukkan keadaan dan masalah yang dihadapi oleh pelbagai pihak, terutamanya ketika berkomunikasi, bermesyuarat atau mengadakan perbincangan. Sikap keji yang hanya mementingkan diri sendiri ini seharusnya dielakkan dan dibuang daripada diri setiap insan. Sesungguhnya, sikap ini bukannya membawa faedah tetapi membawa padah.

Pada zaman globalisasi ini, jumlah keluarga bahagia di negara ini kian merosot. Berdasarkan kajian yang dibuat, statistik kes penceraian di Malaysia sudah mencecah 3000 kes setahun. Gejala ini merupakan masalah yang semakin kronik dan perlu diambil tindakan yang sewajarnya. Menurut kajian yang dilakukan oleh Professor Charles E.Comb dari Universiti Nottingham di England, masalah-masalah keluarga ini kebanyakannya berpunca daripada tingkah laku dan sikap ahli keluarga yang tidak memainkan peranan masing-masing. Mereka tidak saling menghormati dan menyayangi antara satu sama lain dan mempunyai pendapat yang berbeza tentang kehidupan yang diingini dan tidak boleh bertolak ansur untuk mencapai matlamat mereka. Peribahasa “seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing” jelas terpapar dalam sikap ahli keluarga masyarakat zaman ini.

Selain itu, peribahasa ini juga boleh dibuktikan dengan peranan rakyat dalam mengendalikan keputusan atau memilih kerajaan mereka sendiri. Sebagai contoh, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Alam Sekitar telah jelas menyatakan dan memberi amaran kepada sesiapa yang mengambil, memburu atau membunuh hidupan liar sama ada flora atau fauna. Tindakan ini bukan sahaja untuk manfaat hidupan liar yang kian pupus, tetapi untuk kebaikan rakyat negara juga. Pemeliharaan dan pemuliharaan biodiversiti hidupan liar di Malaysia dapat menjamin keseimbangan ekosistem dan keindahan paranoma alam semula jadinya untuk generasi akan datnag. Amaran yang diberi bagai mencurah air ke daun keladi sahaja kerana sehingga kini, masih berlaku perburuan dan pembunuhan hidupan liar yang boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem pada masa ini. Kedegilan dan ketidakperikemanusiaan rakyat inilah yang akan membinasakan kehidupan mereka sendiri. Mereka beranggapan bahawa hasil tangkapan hidupan liar dapat memberikan keuntungan yang lumayan tetapi mereka tidak berpandangan jauh dan tidak berfikir tentang kesan-kesan tindakan mereka itu. Jelaslah betapa bezanya pendapat pihak kerajaan yang mementingkan kesejahteraan rakyat dengan pendapat rakyat yang hanya memikirkan kebahagiaan diri sendiri.

Sistem pemerintahan dan pentadbiran di Malysia berasaskan demokrasi iaitu pemilihan wakil oleh rakyat melalui pilihan raya. Sistem demokrasi ini amat berguna dalam membentuk perpaduan rakyat dan menjamin keamanan negara. Namun begitu, sesetengah masyarakat tidak boleh menerima pemimpin yang bukan dipilih oleh mereka. Kebanyakannya bertindak mengikut perasaan dan emosi untuk meluahkan perasaan dan ketidakpuasan mereka kepada pihak kerajaan. Tingkah laku ini boleh membawa kepada pergaduhan atau pergolakan rakyat dan secara tidak langsung, keamanan dan perpaduan negara terjejas, bak kata peribahasa Albert Einstine, “membina reputasi yang baik mengambil masa 10 tahun tetapi untuk mencemarkannya mengambil masa lima minit sahaja”. Peribahasa ini menunjukkan usaha-usaha pihak kerajaan selama ini seperti mengira bulu di badan kambing biri-biri sahaja kerana semuanya sia-sia belaka akibat masyarakat yang tidak semuafakat.

Kita bicara pula dari sudut perpaduan, perpaduan rakyat negara ini merupakan hasil dari penyatuan dan kesefahaman rakyat yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat majmuk seperti Melayu, Cina dan India. Rakyat negara ini hidup bersatu-padu dan saling berkompromi antara satu sama lain. Sikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing masih terdapat dalam diri segelintir masyarakat tetapi mereka dapat menyelesaikannya melalui perbincangan untuk menjaga kesejahteraan rakyat yang berlainan bangsa, budaya dan agama. Walaupun begitu, persaudaraan erat yang utuh ini diancam pada tahun 2008. Pergaduhan besar telah berlaku di kawasan pedalaman Pahang antara orang Melayu dan orang India kerana perbezaan pendapat, ajaran dan moral. Masyarakat yang menetap di sekitar kawasan itu berasa bimbang dan gelisah serta takut untuk keluar rumah akibat pergaduhan tersebut. Mujurlah pihak polis dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka dengan tenang dan diplomatik. Sikap masyarakat yang ditunjukkan terbukti membawa bahaya dan padah kepada masyarakat itu sendiri. Oleh itu, peribahasa ‘seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’ sebaik-baiknya diluputkan daripada kamus hidup diri masing-masing.

Kita hidup dalam sebuah masyarakat ‘ibarat aur dengan tebing’. Hidup yang sering membantu ‘sedikit tanda ada, banyak tanda ingat’. Budaya dan adat resam merupakan teras penglahiran yang membentuk identiti sesebuah masyarakat. Oleh hal yang demikian, setiap kaum hendaklah memahami selok-belok kehidupan kaum lain terutama dalam pengamalan budaya, agama dan adat resam mereka. Dengan memahami selok-belok kehidupan kaum lain, maka barulah wujudnya hubungan toleransi dan saling menghormati. Menyedari kepentingan menghormati adat resam dan budaya setiap kaum, kerajaan telah melancarkan sambutan rumah terbuka dan menggalakkan budaya kunjung-mengunjung. Hal ini jelas menunjukkan tindakan kerajaan yang berpendapat bahawa permuafakatan dan perpaduan rakyat menjadi tunggak utama dalam kemajuan Negara dari segi ekonomi, politik dan social. Demi mencapai matlamat negara, peribahasa ‘seperti enaudalam belukar melepaskan pucuk masing-masing’ seharusnya dielakkan dan dijauhi oleh setiap lapisan masyarakat. Sebagai sebuah Negara bermasyarakat majmuk, kita perlulah mengambil masalah perpecahan rakyat dengan serius dan tidak sambil lewa kerana mungkin kelak kita juga akan rugi akibat perspektif buruk masyarakat di negara Malaysia yang hanya mementingkan diri sendiri dan enggan menerima pertolongan atau bantuan orang lain.

Intihanya, demi keamanan dan kesejahteraan rakyat sejagat, pihak berkuasa dan berwajib perlu mengambil tindakan-tindakan yang konkrit untuk menyediakan payung sebelum hujan. Setiap insan juga perlu mengambil inisiatif sendiri untuk memastikan pertelingkahan dan pergaduhan tidak berlaku sesama sendiri seperti yang berlaku pada tahun 1996 kerana masyarakat pada masa itu mempunyai perbezaan pendapat yang tidak boleh diselesaikan secara aman dan tenang. Masyarakat yang sejahtera dan kondusif merupakan masyarakat yang bersatu padu, saling menghormati dan memahami serta berfikiran positif dan bersangka baik antara satu sama lain. Sudah banyak kali diperdengarkan, rakyat merupakan tulang belakang dan akar negara. Oleh itu, setiap orang perlu memainkan peranan masing-masing untuk membolehkan negara duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara yang lain. Menurut Nabi Muhammad s.a.w, “Kejayaan berdakwah berpandukan perbincangan yang baik”. Hadis ini membuktikan bahawa sebarang masalah yang dihadapi tentu boleh diselesaikan jika kedua-dua pihak duduk berbincang dan bertukar pendapat dengan fikiran yang terbuka dan rasional.

( 900 patah kata )

Jawapan esei bahagian B Peperiksaan Pertengahan Tahun 2009
SITI NABILAH AMIRAH
4 BIJAK
SMK SULTAN ISMIAL 2009


Tiada ulasan:

Catat Ulasan