DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI PENYAYANG

Ya Allah jadilah usahaku ini satu ibadat yang Kauredai....
Ya Allah hilangkan raik, ujub dan sum'ah dalam diri......
Ya Allah jadilah ilmu yang dipinjamkan olehMU sesuatu yang memberi manafaat kepada diriku, suamiku, anak-anakku dan semua manusia dunia dan akhirat ....... AMIN

YA ALLAH JADIKAN SETIAP PERBUATANKU, SUAMI DAN ANAK-ANAK SEBAGAI IBADAT YANG IKHLAS DENGAN LIMPAHAN REDAMU......AMIN

Ya ALLAH, Ampunilah dosa kami, bantulah kami dalam menjaga Akal, Lidah, Hati dan Perbuatan dari perkara-perkara yang boleh mendatangkan KEMURKAAN-MU kepada kami yang sangat lemah. ILMU kami tidak sampai sebesar lubang jarum berbanding dengan lautan luas ciptaan-MU, bahkan kami selalu menurut hawa nafsu biarpun Firman-MU dan Sunnah Kekasih-MU ada dibumi-MU. Permudahkanlah segala urusan kami. Amin


YA ALLAH , SEMUGA ILMU YANG KAUPINJAMKAN INI TERSEBAR DAN DIMURNIKAN SEMULA OLEH PARA PENGUNJUNG BLOG ........ JADIKANLAH ILMU INI BERMANAFAAT BUAT RAKAN-RAKAN PENDIDIK DAN ANAK-ANAK DIDIK SEKALIAN.....AMIN

Sabtu, 27 November 2010

HASIL PENULISAN PELAJAR 2009

ISI KANDUNGAN

1. USHA-USAHA MEMARTABAKAN BATIK MALAYSIA

2. PENDIDIKAN MAYA DI NEGARA MALAYSIA

3. KEMPEN GALAKAN MEMBACA -KARANGAN BERPANDU

4. SEPERTI ENAU DALAM BELUKAR, MELEPASKAN PUCUK MASING-MASING


USAHA-USAHA MEMAJUKAN INDUSTRI BATIK DI MALAYSIA


Soalan : Batik Malaysia masih kurang mendapat tempat dan sambutan dalam kalangan masyarakat Malaysia dan antarabangsa. Bincangkan usaha-usaha yang dapat diambil untuk memartabatkan batik Malaysia.

Batik merupakan satu kraf tangan yang unggul di Malaysia. Sejarah mengatakan sejak abad ke 15 Masihi lagi manusia telah menemui kaedah pembuatan batik secara tradisional. Pada masa dahulu, masyarakat Melayu menggunakan ubi kentang sebagai alat pengecap tetapi kini kain batik telah diusahakan dengan menggunakan alat-alat moden. Perusahaan batik telah mula di negara kita khususnya di negeri Kelantan sejak tahun 1910 lagi. Batik berasal dari Indonesia dan terbit dari perkataan Jawa ‘tik’ yang bermaksud menitik atau menulis titik-titik. Selain itu, batik juga dikenali sebagai ambatik yang bermaksud melukis, menulis, mewarna atau menitik. Industri batik di Malaysia dirintis oleh Su Ishak di Kelantan pada tahun 1911. Di alam Melayu pula, sejenis batik yang dipanggil Batik Pelangi telah diperkenal sejak tahun 1770-an lagi. Di Malaysia kebanyakan kilang perusahaan batik banyak terdapat di Kelantan dan Terengganu.

Seni batik merupakan satu daripada akar budaya yang menjadi identiti bangsa Malaysia. Walaubagaimanapun, industri batik ini mula merudum tetapi dimartabatkan semula pada tahun 2003 atas usaha Datin Seri Endon Mahmood. Sememangnya, bukan mudah untuk membina identiti bangsa dan mendaulatkan maruah bangsa. Justeru, langkah proaktif dan berterusan perlu diambil demi memartabatkannya kembali.

Dalam usaha memartabatkan industri seni batik di Malaysia, pihak kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk mempromosikan industri ini. Ungkapan peribahasa ‘tak kenal maka tak cinta’ menggambarkan betapa pentingnya aktiviti promosi yang agresif untuk memperkenalkan seni batik kepada masyarakat di Malaysia yang semakin meminggirkan tradisi dan budaya. Hal ini demikian kerana masyarakat di negara kita kurang didedahkan dengan amalan tradisi mahupun kraf tangan yang menjadi warisan nenek moyang kita terdahulu. Kerajaan telah menguatkuasakan agenda baru dalam kalangan penjawat awam iaitu mereka diwajibkan memakai pakaian batik pada setiap hari Khamis dan di majlis-majlis rasmi. Secara tidak langsung, masyarakat kita akan membuka mata dan memikirkan signifikannya pewajiban pemakaian batik dalam kalangan penjawat awam dan motif sebenar kerajaan menguatkuasakan peraturan ini.

Usaha kerajaan ini juga mendapat sambutan dan sokongan daripada Perbadanan Kemajuan Kraftangan dan Perbadanan Kemajuan Luar Malaysia demi merealisasikan hasrat yang sama iaitu mengembalikan keagungan seni batik. Institut Kraf Negara(IKN) merupakan salah satu agensi bagi membantu mencapai matlamat ini. IKN merupakan pusat kecemerlangan pendidikan kraf yang dapat melahirkan tenaga mahir berteknologi terkini, usahawan kraf dan menjadi pusat rujukan, penyelidikan serta pemuliharaan warisan negara. Dalam hal ini, IKN dapat membantu melatih pengusaha batik yang baru dan ingin menambah ilmu dalam industri ini. Selain itu, kerajaan juga telah memperkenalkan Skim Intensif Galakan Dagangan yang bertujuan untuk membantu usahawan kraf menerokai pasaran baru di Timur Tengah seperti di United Arab Emirates(UAE). Dalam erti kata lain, dengan adanya agenda kerja yang tersusun dan sempurna, misi memartabatkan seni batik ini pasti dapat dicapai.

Peribahasa Melayu ada menyebut, ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, dimanakan dapat sagunya’ yang membawa maksud, tanpa usaha kita tidak akan dapat hasilnya. Dalam memartabatkan industri seni batik, usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) haruslah giat dilaksanakan. Agensi-agensi kerajaan seperti institut pengajian tinggi awam(IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta(IPTS) mestilah bijak mengambil langkah yang progresif demi membantu menaiktarafkan batik Malaysia. Misalnya, IPTA dan IPTS boleh memperkenalkan atau menawarkan matapelajaran seni kebudayaan batik kepada para pelajar di institut-institut tersebut. Universiti Teknologi Mara(UiTM) merupakan contoh universiti yang mempunyai fakulti seni tekstil ; di sini pelajar dilatih untuk menghasilkan batik. Di samping itu, IPTA dan IPTS juga boleh menganjurkan forum ceramah apresiasi batik dan pameran batik bertujuan untuk melahirkan pengusaha batik yang berkualiti dan mencambahkan kreativiti mereka dalam menghasilkan batik. Sekali lagi Institut Kraf Negara(IKN) memainkan peranan yang penting dalam melatih tenaga mahir dalam industri pembuatan batik dan mengenal pasti corak batik terkini yang menembusi pasaran baharu. Jelaslah di sini bahawa usaha yang mapan dan agresif banyak membantu usaha memartabatkan dan mengglobalkan seni batik.

Selain itu, program promosi dan pemasaran yang agresif juga boleh melicinkan lagi usaha kerajaan dalam mengembalikan kegemilangan seni batik di Malaysia. Perbadanan Kraf Tangan Malaysia telah mengambil langkah yang responsif dan drastik dengan mengadakan promosi yang berterusan di dalam dan di luar negara. Seni batik mula menapak di pasaran antarabangsa apabila batik menerjah ke seantero dunia apabila kerajaan berjaya mendapatkan tempat pameran baru yang sangat berpengaruh dan popular iaitu di Harrods,London. Pepatah ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’ menggambarkan betapa keras usaha kerajaan dalam memurnikan usaha memartabatkan seni batik yang sangat bernilai ini.Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negara turut memainkan peranan dengan mengadakan promosi dan jualan di pusat beli-belah, hotel, lapangan terbang, dan lain-lain tempat. Di samping itu, usaha Datin Seri Endon Mahmood juga mendapat sokongan daripada pihak kerajaan demi memurnikan hasrat melonjakkan industri batik di negara kita. Hasilnya, pada tahun 2003, hasil jualan batik ialah RM33 juta dan meningkat kepada RM39.7 juta pada tahun 2004. Sememangnya, usaha yang padu daripada pelbagai pihak dapat memendekkan masa untuk mencapai misi memartabatkan industri batik negara kita.

Di samping usaha-usaha yang giat dilaksanakan, pengusaha batik turut memainkan peranan yang sangat penting. Pengusaha perlulah berani menanam modal demi menjalankan perniagaan mereka dan rajin menimba ilmu baharu seperti kata pepatah Melayu,’berkayuh sambil bertimba’. Selain itu, pengusaha juga boleh mengadakan kesepakatan dan kerjasama dalam kalangan pengusaha batik dan agensi kerajaan dengan mewujudkan institusi latihan batik. Usaha ini sememangnya dapat memenuhi dasar kerajaan dan aspirasi rakyat apabila terhasilnya batik yang berkualiti dengan wujudnya kerjasama yang dijalinkan.

Kesimpulannya, mutiara berharga seperti seni batik yang menjadi identiti bangsa dan warisan tradisi ini wajar dipertimbangkan supaya tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Pada masa hadapan, generasi muda akan datang menghayati dan berbangga akan budaya tempatan yang dikekalkan untuk sekian lamanya. Sudah sampai masanya industri batik tempatan yang diusahakan secara turun temurun ini beralih kepada industri berdaya saing dan menampilkan kewibawaan bangsa. Semoga warisan tradisi khazanah bangsa terpelihara agar keindahan yang terpancar melaluinya tidak terus dilupakan oleh generasi yang akan datang dan dihormati di peringkat antarabangsa.

( 920 patah kata )

NURDARINA MAISARAH 5 CERDIK




PENDIDIKAN MAYA

Soalan :

Dalam usaha kerajaan memartabatkan sistem pendidikan agar bertaraf dunia, sistem pengajaran dan pembelajaran secara maya telah diperkenalkan di sekolah dan institusi pengajian tinggi. Bincangkan kelebihan-kelebihan pendidikan maya dan usaha-usaha untuk menggalakkan penggunaan pendidikan maya.

Pepatah ada mengatakan ‘zaman beralih, musim bertukar’,sememangnya tidak dapat dinafikan lagi pendidikan konvensional kini telah bertukar wajah. Sistem pendidikan maya telah diperkenalkan di negara kita atas usaha kerajaan untuk memartabatkan lagi sistem pendidikan kita agar bertaraf dunia. Sistem ini bertujuan untuk melonjakkan taraf pendidikan rakyat Malaysia agar setanding dengan sistem pendidikan di negara-negara maju dan juga untuk meningkatkan sistem pengajaran dan pembelajaran agar boleh diaplikasikasikan di seluruh dunia.Pendidikan maya merupakan satu bentuk pendidikan masa depan yang akan memaksimumkan penggunaan Teknologi dan Maklumat dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pendidikan maya dapat ditakrifkan sebagai sistem pengajaran dan pembelajaran yang melepasi sempadan bilik kuliah atau kelas di sekolah. Jika kita menerobosi secara terperinci tentang sisitem pendidikan maya ini, banyak kelebihan yang bakal kita dapati.

Dalam hal ini, pendidikan maya membolehkan para pelajar mengikuti tutorial tanpa perlu terikat dengan waktu pembelajaran di dalam kelas. Hal ini kerana, para pelajar dapat menghadiri mana-mana sidang dimana-mana sahaja tanpa mengira waktu. Pembelajaran secara asinkronis ini memudahkan lagi para pelajar untuk melakukan perbincangan pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja tanpa perlu duduk setempat bersama-sama. Hasilnya, lebih banyak informasi dapat digali dan pelbagai idea baru dapat ditunasi. Selain itu, sitem ini turut membuka peluang untuk para pelajar berinteraksi menggunakan internet dan juga e-mel. Hal ini secara tidak langsung dapat menjimatkan lagi masa para pelajar.

Dalam nada yang serupa, menerusi sistem pendidikan maya, para pelajar dapat menggunakan E-buku yang boleh dimuat turun secara langsung dari alam maya. E-Buku mempunyai pelbagai aplikasi. Antaranya termasuklah pemprosesan kata, hamparan data, senarai kandungan, kalendar dan sebagainya. Dengan e-buku itu, para pelajar tidak perlu membawa buku yang banyak. Penggunaan buku elektronik ini dijangka dapat mengurangkan kos bagi Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) di sekolah dalam jangka masa yang panjang. Penggunaan e-buku mampu menangani kepelbagaian masalah pelajar dalam bidang akademik di dalam sesebuah kelas. E-buku menjadi suatu wahana dengan pendekatan interpersonal antara guru dengan pelajar. Sebagai seorang pelajar, internet juga boleh dijadikan sebagai medium rujukan. Malahan, internet juga dianggap sebagai perpustakaan maya yang menyimpan khazanah ilmu pengetahuan. Maklumat yang diperoleh lebih cepat, mudah dan dapat menjimatkan masa.

Di samping itu, para pelajar terutama di peringkat pengajian tinggi tidak perlu lagi bersemuka dengan pensyarah. Sebagai contoh Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) membolehkan para pensyarah mengendalikan telesidang yang menggabungkan audio, video dan grafik dapat dilakukan di lokasi yang berbeza dengan peralatan canggih dan didengari ramai tanpa melibatkan kos yang tinggi. Malahan, konsep universiti terbuka seperti Universiti Tun Abdul Razak dapat dirancakkan lagi kewujudannya tanpa pelajar perlu bersua muka dengan pensyarah seperti masa ini. Dalam hal ini, golongan seperti suri rumah dan pesara dapat terus melanjutkan pelajaran tanpa perlu menghadirkan diri di institusi pendidikan. Hal ini secara tidak langsung dapat memanifestasikan slogan pendidikan sepanjang hayat yang digalakkan oleh kerajaan. Seterusnya, pendidikan secara maya juga dapat menjimatkan pelbagai kos kehidupan seperti penginapan dan pembelanjaan. Hal ini kerana pendidikan maya boleh dilakukan di rumah. Hal ini secara tidak langsung telah menjimatkan kos perbelanjaan dan penginapan para pelajar.

Demi melonjakkan lagi sistem pendidikan di negara kita, pelbagai usaha telah dilakukan untuk menggalakkan pendidikan maya dalam kalangan masyarakat. Antara usaha yang telah di lakukan ialah menaik taraf sekolah dan institut pengajian tinggi. Kementerian Pelajaran telah melaksanakan Pelan Induk Pembangunan dan Pendidikan (PIPP) yang bertujuan untuk menghasilkan pendidikan yang berkualiti untuk semua lapisan masyarakat.Menerusi teras yang keenam Pelan Induk Pembangunan dan Pendidikan, Kementerian Pelajaran berhasrat untuk melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan tidak kira sama ada sekolah mahupun institusi pengajian tinggi. Sebagai contoh, menerusi PIPP, sebanyak 60 buah sekolah telah dinaik taraf sebagai sekolah kluster.Skolah Kluster dapat disignifikasikan sebagai satu jenama yang diberi kepada sekolah yang dikenal pasti kecemerlangannya dalam klusternya daripada aspek pengurusan sekolah dan kemenjadian murid. Penggunaan kemudahan teknologi maklumat yang disediakan perlu diikuti oleh semua pelajar sekolah kluster. Misalnya, beberapa sekolah kluster telah mengambil beberapa langkah untuk mempraktikkan pendidikan maya dalam proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah seperti menghantar tugasan melalui e-mel dan juga melakukan pembentangan melalui pengunaan komputer. Para pelajar juga digalakkan untuk menguasai perisian komputer seperti Microsoft Words, Microsoft Power Point dan sebagainya. Di samping itu, banyak universiti telah diiktiraf sebagai Universiti penyelidikan seperti Universiti Malaya dan juga Unversiti Sains Malaysia untuk melonjakkan lagi sistem pendidikan di negara kita.

Kesimpulannya, sememangnya pendidikan maya memberikan pelbagai kelebihan kepada seluruh lapisan masyarakat. Umum mengetahui bahawa bentuk pengaajaran dan pembelajaran yang baharu membolehkan rakyat meningkatkan kemahiran dan kelayakan akademik. Pelaksanaan sistem pendidikan maya di negara kita dapat meluaskan lagi horizon minda para pelajar. Para pelajar akan lebih terdedah dengan dunia globalisasi sekiranya pendidikan maya dilaksnakan secara menyeluruh. Walaupun usia telah meningkat ilmu pengetahuan tetap dapat dikuasai. Konsep pembelajaran sepanjang hayat menerusi pendidikan sedemikian patut dimanfaatkan oleh semua bertunjangkan pepatah ‘ sebab mutiara sebiji, lautan dalam diselami orang’. Selain itu pelbagai pihak tidak kira pihak swasta mahupun badan bukan kerajaaan (NGO) perlulah berganding bahu bersama kerajaan untuk membangunkan lagi sistem pendidikan di negara kita agar ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’ dengan negara-negara maju yang lain.


ADILAHNUR YAHYA 5 CERDIK

(810 patah perkataan)




KEMPEN GALAKAN MEMBACA ( KARANGAN BAHAGIAN A- BERPANDU GRAFIK
KEMPEN GALAKAN MEMBACA DALAM KALANGAN RAKYAT MALAYSIA.

Para ahli bijak pandai ada menyatakan bahawa orang yang mendapat kebahagiaan hidup ialah orang yang menimba ilmu pengetahuan. Ada juga yang beranggapan bahawa kejayaan seseorang diukur berdasarkan kekuatannya tetapi sebenarnya ‘kekuatan’ itu merujuk kepada kekuatan dan kekayaan ilmu pengetahuan. Bagaimanakah lagi caranya untuk memperkaya ilmu pengetahuan? Tentulah melalui jambatan ilmu iaitu membaca.

Marcapada ini, pelbagai kempen galakan membaca sedang dan telah dilaksanakan di negara ini, namun keberkesanan kempen masih tidak menyeluruh kerana tidak mendapat sambutan masyarakat. Masa inilah saatnya untuk tenaga semua pihak yang bersepadu digemblengkan bagi membentuk masyarakat yang gemar membaca.Minat membaca dalam setiap ihsan seharusnya dipupuk sejak kecil lagi. Para ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak-anak kerana kanak-kanak seperti sehelai kain putih, ibu bapalah yang mencorak dan mewarnai kehidupannya. Oleh itu, ibu bapa hendaklah mewujudkan suasana membaca di rumah dan menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak dengan amalan membaca , bukan sahaja sekadar hobi tetapi untuk mencari maklumat tentang sebarang perkara yang tidak diketahui juga. Didiklah anak-anak supaya menjadi ihsan yang cemerlang kerana anak-anak semasa kecil mudah diajar dan dibentuk, bak kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Selain itu, pihak sekolah juga sedikit sebanyak memainkan peranan penting dalam mendidik ihsan kelas pertama supaya gemar membaca. Pada tahun 2002, Kementerian Pendidikan dan Pelajaran Malaysia telah melancarkan Program NILAM di setiap sekolah. Kempen ini bertujuan untuk mengisi masa lapang para pelajar dan mengelakkan mereka terjebak dalam gejala negatif, di samping menambahkan lagi ilmu pengetahuan murid-murid. Sehingga kini, pihak sekolah masih menjalankan sesi pembacaan iaitu akitiviti NILAM di sekolah dan menjadikan pusat sumber sekolah sebagai satu tempat rujukan maklumat serta dimuatkan dalam jadual kelas untuk pergi ke perpustakaan sekali-sekala. Usaha yang mulia ini perlu ditingkatkan lagi dengan berlipat ganda kerana murid-murid masih sukar dan tidak gemar melakukan aktiviti membaca. Sebaliknya, mereka lebih suka menggunakan ICT untuk menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi.

Tidak lupa juga kepada pihak media massa dan elektronik pada masa ini. Peranan mereka dalam menjayakan kempen galakan membaca amat besar kerana media massa dan elektronik berperanan sebagai ‘Penyebar maklumat untuk negara’. Hal ini telah dibuktikan melalui penyebaran ilmu melalui surat khabar, majalah, tayangan televisyen, siaran radio dan juga ruangan siber di Internet. Pada zaman teknologi dan maklumat ini, masyarakat menggunakan bahan-bahan elektronik sekurang-kurangnya enam jam sehari dan mereka lebih menumpukan perhatian pada berita-berita hangat dan cerita-cerita sensasi yang dipaparkan oleh media massa terutamanya surat khabar. Oleh yang demikian, pihak media massa dan elektronik perlu menyeru dan menggesa masyarakat supaya membaca dan menyatakan sekali kebaikan-kebaikan membaca. Jika pihak media massa berbuat demikian, tentulah masyarakat negara ini akan menuruti tuntutannya. Begitulah besarnya pengaruh media massa dan elektronik dalam kehidupan masyarakat.

Dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak, minat membaca ternyata menurun dengan drastik. Kesedaran terhadap minat membaca terbukti menurun dengan begitu ketara sekali dalam kalangan dewasa khusunya mereka yang tidak terlibat dengan bidang pendidikan. Hal ini dapat dibuktikan dengan keberkesanan kempen yang masih tidak menyeluruh kerana tidak mendapat sambutan daripada masyarakat. Apabila memasuki alam pekerjaan, kesibukan tugas dan kesuntukan masa menjadi hambatan utama seseorang itu kurang berminat untuk membaca. Sekiranya ada yang berminat, pembacaan mereka sekadar mengisi ruang kosong dalam masa senggang sahaja. Bahan bacaan yang dipilih pula hanya bahan-bahan ringan dan bahan hiburan. Sindrom ini sebenarnya menjurus ke arah pembentukan bangsa yang lemah, jumud dan tidak bermaklumat. Kejumudan dalam berfikir yang dipengaruhi sikap tidak gemar membaca dapat menjejaskan kemajuan negara dalam arus globalisasi yang mementingkan pemerolehan maklumat terkini.


Oleh yang demikian, langkah yang proaktif dan kondusif perlu diambil untuk meningkatkan keberkesanan kempen dan secara tidak langsung menyedarkan masyarakat Negara kini tentang kepentingan dan faedah membaca.Intihanya, semua pihak yang bertanggungjawab dan berautoriti perlulah segera bekerjasama sepetri aur dengan tebing untuk memastikan minat membaca dalam sanubari setiap insan tidak lupus dek teknologi moden yang sedang berkembang dengan deras dan maju seiring dengan pembangunan dan perkembangan negara. Setiap insan juga perlu berusaha sendiri untuk menggiatkan lagi aktiviti membaca dalam proses melahirkan dan membentuk pelapis generasi akan datang dan juga pemimpin berwibawa yang berkaliber dan berwawasan tinggi serta mempunyai ilmu pengetahuan yang dalam dan tiada tandingannya kecuali dengan Tuhan. Menurut Saidina Ali bin Abi Talib, berdagang dengan ilmu lebih baik daripada berdagang dengan harta; ilmu akan bertambah jika diperdagangkan, manakala harta pula akan berkurangan jika diperdagangkan. Oleh itu, marilah kita sama-sama menyambut kempen galakan membaca yang dilaksanakan oleh kerajaan dengan hati yang terbuka dan muka yang manis.

SITI NABILAH AMIRAH4 BIJAK SSI, 2009





PERIBAHASA ‘SEPERTI ENAU DALAM BELUKAR MELEPASKAN PUCUK MASING-MASING’ DALAM KONTEKS MASYARAKAT PADA HARI INI.

“Seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”, peribahasa ini merujuk pada masyarakat yang tidak semuafakat dalam perbincangan dan hanya berpegang pada pendapat masing-masing sahaja. Begitulah sikap masyarakat yang ada di negara ini pada masa ini. Peribahasa ini jelas menunjukkan keadaan dan masalah yang dihadapi oleh pelbagai pihak, terutamanya ketika berkomunikasi, bermesyuarat atau mengadakan perbincangan. Sikap keji yang hanya mementingkan diri sendiri ini seharusnya dielakkan dan dibuang daripada diri setiap insan. Sesungguhnya, sikap ini bukannya membawa faedah tetapi membawa padah.

Pada zaman globalisasi ini, jumlah keluarga bahagia di negara ini kian merosot. Berdasarkan kajian yang dibuat, statistik kes penceraian di Malaysia sudah mencecah 3000 kes setahun. Gejala ini merupakan masalah yang semakin kronik dan perlu diambil tindakan yang sewajarnya. Menurut kajian yang dilakukan oleh Professor Charles E.Comb dari Universiti Nottingham di England, masalah-masalah keluarga ini kebanyakannya berpunca daripada tingkah laku dan sikap ahli keluarga yang tidak memainkan peranan masing-masing. Mereka tidak saling menghormati dan menyayangi antara satu sama lain dan mempunyai pendapat yang berbeza tentang kehidupan yang diingini dan tidak boleh bertolak ansur untuk mencapai matlamat mereka. Peribahasa “seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing” jelas terpapar dalam sikap ahli keluarga masyarakat zaman ini.

Selain itu, peribahasa ini juga boleh dibuktikan dengan peranan rakyat dalam mengendalikan keputusan atau memilih kerajaan mereka sendiri. Sebagai contoh, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Alam Sekitar telah jelas menyatakan dan memberi amaran kepada sesiapa yang mengambil, memburu atau membunuh hidupan liar sama ada flora atau fauna. Tindakan ini bukan sahaja untuk manfaat hidupan liar yang kian pupus, tetapi untuk kebaikan rakyat negara juga. Pemeliharaan dan pemuliharaan biodiversiti hidupan liar di Malaysia dapat menjamin keseimbangan ekosistem dan keindahan paranoma alam semula jadinya untuk generasi akan datnag. Amaran yang diberi bagai mencurah air ke daun keladi sahaja kerana sehingga kini, masih berlaku perburuan dan pembunuhan hidupan liar yang boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem pada masa ini. Kedegilan dan ketidakperikemanusiaan rakyat inilah yang akan membinasakan kehidupan mereka sendiri. Mereka beranggapan bahawa hasil tangkapan hidupan liar dapat memberikan keuntungan yang lumayan tetapi mereka tidak berpandangan jauh dan tidak berfikir tentang kesan-kesan tindakan mereka itu. Jelaslah betapa bezanya pendapat pihak kerajaan yang mementingkan kesejahteraan rakyat dengan pendapat rakyat yang hanya memikirkan kebahagiaan diri sendiri.

Sistem pemerintahan dan pentadbiran di Malysia berasaskan demokrasi iaitu pemilihan wakil oleh rakyat melalui pilihan raya. Sistem demokrasi ini amat berguna dalam membentuk perpaduan rakyat dan menjamin keamanan negara. Namun begitu, sesetengah masyarakat tidak boleh menerima pemimpin yang bukan dipilih oleh mereka. Kebanyakannya bertindak mengikut perasaan dan emosi untuk meluahkan perasaan dan ketidakpuasan mereka kepada pihak kerajaan. Tingkah laku ini boleh membawa kepada pergaduhan atau pergolakan rakyat dan secara tidak langsung, keamanan dan perpaduan negara terjejas, bak kata peribahasa Albert Einstine, “membina reputasi yang baik mengambil masa 10 tahun tetapi untuk mencemarkannya mengambil masa lima minit sahaja”. Peribahasa ini menunjukkan usaha-usaha pihak kerajaan selama ini seperti mengira bulu di badan kambing biri-biri sahaja kerana semuanya sia-sia belaka akibat masyarakat yang tidak semuafakat.

Kita bicara pula dari sudut perpaduan, perpaduan rakyat negara ini merupakan hasil dari penyatuan dan kesefahaman rakyat yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat majmuk seperti Melayu, Cina dan India. Rakyat negara ini hidup bersatu-padu dan saling berkompromi antara satu sama lain. Sikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing masih terdapat dalam diri segelintir masyarakat tetapi mereka dapat menyelesaikannya melalui perbincangan untuk menjaga kesejahteraan rakyat yang berlainan bangsa, budaya dan agama. Walaupun begitu, persaudaraan erat yang utuh ini diancam pada tahun 2008. Pergaduhan besar telah berlaku di kawasan pedalaman Pahang antara orang Melayu dan orang India kerana perbezaan pendapat, ajaran dan moral. Masyarakat yang menetap di sekitar kawasan itu berasa bimbang dan gelisah serta takut untuk keluar rumah akibat pergaduhan tersebut. Mujurlah pihak polis dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka dengan tenang dan diplomatik. Sikap masyarakat yang ditunjukkan terbukti membawa bahaya dan padah kepada masyarakat itu sendiri. Oleh itu, peribahasa ‘seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’ sebaik-baiknya diluputkan daripada kamus hidup diri masing-masing.

Kita hidup dalam sebuah masyarakat ‘ibarat aur dengan tebing’. Hidup yang sering membantu ‘sedikit tanda ada, banyak tanda ingat’. Budaya dan adat resam merupakan teras penglahiran yang membentuk identiti sesebuah masyarakat. Oleh hal yang demikian, setiap kaum hendaklah memahami selok-belok kehidupan kaum lain terutama dalam pengamalan budaya, agama dan adat resam mereka. Dengan memahami selok-belok kehidupan kaum lain, maka barulah wujudnya hubungan toleransi dan saling menghormati. Menyedari kepentingan menghormati adat resam dan budaya setiap kaum, kerajaan telah melancarkan sambutan rumah terbuka dan menggalakkan budaya kunjung-mengunjung. Hal ini jelas menunjukkan tindakan kerajaan yang berpendapat bahawa permuafakatan dan perpaduan rakyat menjadi tunggak utama dalam kemajuan Negara dari segi ekonomi, politik dan social. Demi mencapai matlamat negara, peribahasa ‘seperti enaudalam belukar melepaskan pucuk masing-masing’ seharusnya dielakkan dan dijauhi oleh setiap lapisan masyarakat. Sebagai sebuah Negara bermasyarakat majmuk, kita perlulah mengambil masalah perpecahan rakyat dengan serius dan tidak sambil lewa kerana mungkin kelak kita juga akan rugi akibat perspektif buruk masyarakat di negara Malaysia yang hanya mementingkan diri sendiri dan enggan menerima pertolongan atau bantuan orang lain.

Intihanya, demi keamanan dan kesejahteraan rakyat sejagat, pihak berkuasa dan berwajib perlu mengambil tindakan-tindakan yang konkrit untuk menyediakan payung sebelum hujan. Setiap insan juga perlu mengambil inisiatif sendiri untuk memastikan pertelingkahan dan pergaduhan tidak berlaku sesama sendiri seperti yang berlaku pada tahun 1996 kerana masyarakat pada masa itu mempunyai perbezaan pendapat yang tidak boleh diselesaikan secara aman dan tenang. Masyarakat yang sejahtera dan kondusif merupakan masyarakat yang bersatu padu, saling menghormati dan memahami serta berfikiran positif dan bersangka baik antara satu sama lain. Sudah banyak kali diperdengarkan, rakyat merupakan tulang belakang dan akar negara. Oleh itu, setiap orang perlu memainkan peranan masing-masing untuk membolehkan negara duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara yang lain. Menurut Nabi Muhammad s.a.w, “Kejayaan berdakwah berpandukan perbincangan yang baik”. Hadis ini membuktikan bahawa sebarang masalah yang dihadapi tentu boleh diselesaikan jika kedua-dua pihak duduk berbincang dan bertukar pendapat dengan fikiran yang terbuka dan rasional.

( 900 patah kata )

Jawapan esei bahagian B Peperiksaan Pertengahan Tahun 2009
SITI NABILAH AMIRAH
4 BIJAK
SMK SULTAN ISMIAL 2009


HASIL PENULISAN PELAJAR 2010

ULASAN FILEM- JARRED LEE 4 CERDIK
Nama Filem : Perang
Nama Penerbit : Ahmad Nabil
Nama Pengulas : Jarred Lee

Ahmad Nabil atau ada kalanya dia menggunakan masa A.N. Kabur sudah tidak asing lagi dalam dunia penerbitan filem tempatan dan bidang penulisan kreatif. Selain menulis cerpen, Ahmad Nabil juga menghasilkan skrip drama, novel dan filem. Antara karyanya yang tersohor yang telah dijadikan filem ialah antologi cerpen Kampung Halaman dan Terima Kasih Tuhanku. Sebagai seorang cerpenis dan novelis, beliau telah memenangi beberapa hadiah. Antologi cerpen Terima Kasih Tuhanku telah memenangi Hadiah Karya Sastersa. Beliau juga telah memenangi Hadiah Karya Sastera dengan cerpen Burung Tiung. Dalam Sayembara Esso-Gapena tahun 1990, cerpen Capa Rengat telah memenangi tempat pertama. Ahmad Nabil telah menerima Anugerah Novelis Muda dan Anugerah Penulis Muda. Oleh itu tidak hairanlah novelnya, Perang yang amat hebat telah dijadikan filem untuk ditonton oleh orang ramai. Novelnya, Perang yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dalam tahun 1994 merupakan salah satu novel yang Berjaya mengangkat nama beliau dalam dunia penulisan dan kesusasteraan Melayu. Mengapakah saya memilih filem ini untuk dikupas dan diulas? Jawapannya sudah pastilah filem ini mempunyai seribu keistimewan yang tersendiri yang tidak ada pada filem yang lain.
Filem Perang mengisahkan kegigihan kehidupan seorang askar tua yang bernama Edward bersama-sama dengan rakan-rakannya yang terpaksa mengharungi pelbagai halangan dan cabaran dalam usahanya untuk menyelamatkan seorang gadis muda yang bernama Sandra yang ditemui olehnya ketika sedang berperang di sebuah pulau yang bernama Valiena. Walaupun usia Edward dan rakan-rakannya telah lanjut namun mereka gagah dan berani untuk menghadapi apa-apa cabaran dan halangan. Edward sanggup mempertaruhkan nyawanya dengan meninggalkan rakan-rakannya untuk menyelamatkan gadis yang dicintainya. Edward terpaksa menghadapi pelbagai cabaran termasuk cabaran mempertahankan maruahnya sebagai seorang askar dan juga rakannya sendiri. Edward amat tertekan apabila memikirkan masa semakin suntuk sebelum Sandra dibunuh oleh pihak musuh. Edward hanya mempunyai masa 20 minit sahaja untuk menyelamatkan Sandra daripada sebuah bangunan kerajaan sebelum rakan-rakannya mengebom bangunan tersebut. Selain itu, Ahmad Nabil berjaya mengisahkan cerita tersebut hingga jalan ceritanya begitu realistik seperti dunia sebenar. Ahmad Nabil telah mengisahkan adegan pengeboman bangunan kerajaan tersebut dengan begitu teliti sekali sehingga penonton sendiri berasa bahawa kisah tesebut benar-benar berlaku dalam minda mereka. Dunia realiti filem ini seakan-akan benar-benar terjadi, hidup, dan menyayat hati penonton, tontonlah filem ini jika anda ingin mengalaminya!
Selain itu, keistimewaan, kelebihan dan daya tarikan filem ini juga terletak pada temanya. Tema keberanian yang cuba digarap dan diketengahkan oleh pengarang telah berjaya menggamit hati penonton. Tidak semua pengarang berjaya menggarap dan membicarakan tema keberanian terhadap tugasnya terutamanya keberanian seorang askar terhadap misi yang diberikan kepadanya. Dalam filem Perang, Edward dan rakan-rakannya berani terhadap misi yang diberikan kepada mereka oleh Pengarah FBI, Arnold Nullen dengan menarik sehingga penonton sendiri dapat mengalaminya. Bagi membuktikan keberanian Edward dan rakan-rakannya, mereka sanggup mempertaruhkan nyawa mereka untuk menyelesaikan misi tersebut walaupun mereka tahu bahawa pihak musuh jauh mempunyai lebih banyak askar dan senjata yang lebih moden. Yang lebih menarik dan istimewa tentang tema novel ini ialah apabila Edward akhirnya menemui gadis yang dicintainya tetapi gadis tersebut diculik oleh musuh utamanya dan Edward terpaksa menggadaikan nyawanya untuk menyelamatkan gadis yang dicintainya daripada pihak musuh. Tema tersebut telah berjaya digarap dengan berkesan hingga timbul tersebut dalam diri penonton.
Di samping itu, keistimewaan dan kekuatan filem ini juga terletak pada watak utamanya. Edward merupakan watak utama filem ini yang mempunyai pelbagai keistimewaan yang harus diteladani dan dijadikan suri teladan oleh semua penonton. Wataknya yang suka akan cabaran mendorong Edward untuk meredah dan merentasi hutan dan gunung untuk menyelesaikan misinya. Keberanian Edward terserlah apabila beliau berjaya membunuh sepuluh orang musuhnya di dalam hutan pada waktu malam dengan menggunakan sebilah pisau sahaja. Edward tidak gentar berhadapan dengan pihak musuhnya yang sentiasa mencuba untuk membunuhnya. Namun begitu di sebalik kekerasan, Edward memiliki banyak keistimewaan. Wataknya yang romantik lagi sanggup berkorban untuk Sandra telah membuka hati Sandra untuk menerima cinta Edward yang akhirnya membawa mereka ke alam percintaan. Hati Sandra mula terbuka apabila dia merealisasikan kesanggupan Edward mempertaruhkan nyawanya untuk menyelamatkan Sandra daripada pihak musuh. Ketaatan dan kepatuhan Edward kepada peraturan dan undang-undang juga haruslah dijadikan teladan kerana walaupun keadaan semakin genting dan beliau tidak mempunyai laluan untuk melarikan diri, Edward tetap menunaikan kewajibannya sebagai seorang askar dan terus berjuang untuk mencapai misinya. Kemantapan fikiran dan kepantasan perlakuannya menyebabkan Edward dihormati oleh rakan-rakannya sebagai seorang ketua kumpulan yang amat berdedikasi dan bertanggungjawab. Justeru, semua lelaki wajar mencontohi watak Edward.
Perkara yang lebih menarik lagi tentang filem ini ialah unsur suspen dan konflik yang terdapat dalam filem ini. Suspen ialah perasaan tanda tanya penonton tentang peristiwa yang bakal berlaku ketika keadaan sedang benar-benar tegang dan mencemaskan. Dalam filem Perang, unsur suspen timbul ketika Edward sedang berlawan dengan seorang rakan seperjuangannya yang lama yang telah menyertai pihak lawan. Rakan lamanya mengugut Edward bahawa dia akan membunuh salah seorang daripada rakan karib Edward sementara mereka bertiga pernah menjadi rakan sekumpulan dahulu. Di sinilah timbul unsur suspen. Adakah Edward akan membunuh rakan lamanya yang berubah sikap atau membiarkan rakan sekumpulannya dibunuh oleh rakan lamanya? Pada saat ini Edward mengalami kemuncak konflik selama ini. Pada waktu Edward hendak menembak kawan lamanya, kawan lamanya menumbuk kawan sekumpulannya di bahagian muka. Penonton mula berasa suspen apabila Edward dihimpit tanggungjawab mempertahankan maruahnya sebagai seorang askar dan tanggungjawab menyelamatkan kawan sekumpulannya. Edward akhirnya menembak kawan lamanya di bahagian beberapa inci di atas jantung. Melalui cara ini, kawan lamanya tidak ditembak mati dan pada masa yang sama kawan sekumpulannya berjaya diselamatkan.
Dalam filem Perang banyak sekali unsur moral, pengajaran dan nilai murni yang boleh diteladani dan dicontohi serta dijadikan pedoman oleh semua penonton. Justeru, filem ini sangat sesuai dalam memupuk nilai-nilai positif dalam kalangan penonton. Semangat bersatu padu, tolong-menolong dan bekerjasama merupakan satu lagi nilai yang dapat dicungkil daripada filem ini. Sikap Edward dan rakan-rakannya yang berganding bahu untuk mencapai matlamat dijadikan teladan. Melalui sikap ini, si penonton mendapat tahu bahawa sesuatu kerja yang berat dapat diselesaikan dengan mudah sekiranya mengamalkan sikap tolong-menolong dan bekerjasama. Yang jelas ialah jika pembaca ingin tahu nilai dan pengajaran seterusnya, maka tontonlah filem ini.
Sebagai kesimpulan, filem Perang merupakan filem yang bermutu dan sesuai ditonton oleh segenap lapisan masyarakat. Malahan filem yang berharga RM9.00 ini mampu dimiliki oleh semua pihak. Kerajaan memastikan bahawa filem ini dijual di semua kedai filem di seluruh Negara agar dapat dinikmati oleh semua rakyat. Lebih-lebih lagi, filem ini haruslah diterjemahkan kepada bahasa-bahasa lain seperti bahasa Inggeris, Cina dan Tamil agar dapat dihayati dan ditonton oleh rakyat berbilang bangsa. Justeru, saya ingin mengajak seluruh peminat filem untuk sama-sama menghayati kehebatan filem ini. Ayuh para penonton, marilah kita bersama-sama menonton filem ini dan segera dapatkan filem ini di pasaran.
( 1000 PATAH KATA )
JARRED LEE
4 CERDIK 2010



3. PENDAPAT - KOH YUN XIN
KEPENTINGAN MENGUASAI LEBIH DARIPADA SATU BAHASA DALAM KALANGAN PELAJAR DI NEGARA INI

Dalam dunia yang serba moden ini ,persaingan anatra individu dikatakan makin hari makin sengit memandangkan kemajuan pesat dalam teknologi ,komunikasi dan globalisasi .Keadaan ini bukan sahaja membabitkan orang dewasa yang sudah menjejakkan diri ke dalam dunia kerjaya ,malah melibatkan pelajar-pelajar yang masih setahun jagung dan berada di bangku sekolah . Sebagai seorang pelajar yang menuntut di Malaysia yang mempunyai diversiti etnik dan budaya yang luas ,kita harus berusaha untuk melengkapkan diri kita dengan pelbagai kekuatan sama ada dari segi intelek mahupun rohani supaya kita tidak keciciran dalam arus kemajuan yang sedang ganas menerjah dunia sejagat .Antara isu yang harus kita ambil kira untuk menyempurnakan akal dan kebolehan kita ialah penggunaan lebih daripada satu bahasa .Bahasa dapat diistilahkan sebagai satu wahana yang penting bagi menjana komunikasi berkesan dalam jagatraya ini . Persis kata Dr Johnson ,bahasa itu pakaian akal ,bahasa itu pakaian otak,bahasa itu kemajuan bangsa ,kita seharusnya prihatin terhadap alibi ini dan berusaha untuk mengenal pasti kepentingan menguasai lebih daripada satu bahasa dalam kalangan pelajar agar tidak menyesal pada hari muka .
Ilmu itu kekuatan bangsa . Sesuatu bangsa yang berilmu dianggap sebagai manusia dunia pertama yang berpotensi memimpin dan mengetuai kemajuan sejagat . Sebagai rakyat Malaysia yang berwawasan ,kita seharusnya mempelajari lebih daripada satu bahasa supaya dapat menguasai ilmu yang pelbagai. Memandang daripada persepsi yang lebih luas ,kita memang harus mengakui bahawa nagara-negara asing termasuklah negara-negara Eropah, Afrika ,Amerika Syarikat ,Australia dan negara-negara jiran Asia Tenggara telah menawarkan pelbagai ilmu yang setanding dengan khazanah ilmu Malaysia . Bahawasanya, teknologi mereka adalah maju berbanding negara kita yang masih bergiat aktif untuk menjejakkan langkah ke satu ambang yang baru . Sebagi contoh ,seseorang pelajar yang pandai dalam Bahasa Inggeris dapat mengambil rujukan daripada buku-buku negara Amerika Syarikat untuk mendalami ilmunya dalam bidang astronomi yang kurang mendapat perhatian di Malysia. Manifestasinya , dengan menguasai lebih daripada satu bahasa kita dapat memperoleh ilmu daripada sumber yang beraneka untuk menjadikan diri manusia tamadun madani yang pintar .
Sementara itu ,kita juga dapat berkomunikasi dalam masyarakat dengan lebih mudah dan berkesan sekiranya kita mempunyai lebih daripada satu bahasa dalam tangan kita . Dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum ,kita mempunyai lebih daripada 50 etnik di seluruh negara dan hal ini menjadi tunjang kepada kepelbagaian bahasa di negara kita . Bak kata peribahasa ,tak kenal maka tak cinta ,melalui penguasaan dua atau tiga bahasa , kita dapat berkomunikasi dengan mereka yang berlainan kaum dengan kita dalam bahasa ibunda mereka . Sebagai contoh ,seseorang pelajar Melayu yang dapat bertutur dengan fasih dalam bahasa Cina atau bahasa India sudah pasti akan mendapat lebih ramai kenalan berbanding yang lain kerana dalam kalangan rakyat kaum Cina dan India masih terdapat segelintir orang yang agak lemah dalam penguasaan bahasa kebangsaan .Dengan ini ,hubungan silaturahim antara rakyat Malaysia yang berbilang kaum akan terjalin secara tidak langsung kerana rakyat pelbagai kaum dapat bersuka ria dan beramah mesra tanpa batasan bahasa.
Mutakhir ini ,fenomena pengangguran dalam kalangan graduan bukan lagi satu polemik yang remeh .Walaupun universiti atau institusi pengajian tinggi berusaha untuk membaiki prestasi para graduan namun kini majikan lebih suka mengubah pekerja yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi pandai juga membabitkan diri dalam pergaulan sosial .Bagi memenuhi kriteria ini ,kita sewajarnya menguasai lebih daripada satu bahasa supaya bahasa-bahasa tersebut dapat melayakkan kita bersaing dengan orang lain untuk mendapat pekerjaan.Misalnya ,semasa sesi temu duga diadakan ,seseorang bakal pekerja yang fasih dalam Bahasa Melayu ,Bahasa Inggeris ,Bahasa Cina dan Bahasa Arab sudah tentu mudah mendapat perhatian penguji yang mungkin kagum dengan kekuatan bahasanya dan secara langsung bakal pekerja tersebut lebih berpeluang dipilih berbanding yang lain .Deduksinya, menguasai lebih daripada satu bahasa bukan bererti kita tidak setia kepada bahasa kebangsaan kita malah merupakan satu alternatif bagi kita menyumbangkan tenaga kepada pembangunan ekonomi negara .
Kebelakangan ini ,program pertukaran pelajar dikatakan kian rancak diusahakan di negara kita .Hal ini berlaku kerana kerajaan kita sedar bahawa pemindahan teknologi hanya akan membuahkan hasil yang lumayan dari sudut jangka masa panjang jika pelajar kita dapat mempelajari dan mengimplementasika ilmu daripada negara luar di negara kita . Sebagai tukaran ,pelajar-pelajar asing akan mengunjungi Malaysia dan menyertai proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah kita bagi tempoh yang tertentu. Dalam masa mereka berada di Malaysia,pelajar-pelajar tempatan boleh berkomunikasi dengan mereka dalam Bahasa Inggeris kerana tidak semestinya pelajar asing tersebut memahami bahasa kebangsaan kita.Hal ini membuktikan bahawa bahasa memainkan peranan yang dominan dalam penjalinan hubungan diplomatik . Bagi meningkatkan keefisienan penyampaian idea kepada warga asing , pelajar-pelajar kita sewajarnya mempelajari bahasa asing seperti Bahasa Jepun, Bahasa Korea mahupun Bahasa Rusia . Konklusinya ,pelajar-pelajar dapat berbakti kepada tanah air tercinta dengan menyumbang tenaga dalam mempererat hubungan dua hala antara Malaysia dengan negara asing jika kita mampu menguasai lebih daripada satu bahasa.
Kesimpulannya ,penguasaan lebih daripada satu bahasa terbukti dapat mendatangkan pelbadai kemaslahatan kepada individu ,masyarakat dan negara daripada pelbagai aspek .Dari segi politik ,Malaysia dapat berurusan dengan negara asing dengan lebih lancar jika bahasa-bahasa yang berbeza dapat dikuasai oleh rakyat.Dalam jurusan ekonomi pula ,Malaysia dapat meningkatkan perdagangan antarabangsa dan pelaburan di luar negara dengan wujudnya pelajar yang berupaya menjaga kepentingan negara di negara-negara asing . Dari aspek sosial ,hal ini pula dapat meningkatkan integrasi nasional yang juga dapat membantu Malaysia mengecapi gagasan ‘1 Malaysia’ selaras dengan prinsip perpaduan yang menjadi pegangan semua rakyat Malaysia . Renungilah puisi di bawah ini untuk meyakinkan kita lagi tentang kepentingan bahasa-bahasa dalam kehidupan rutin kita .
Yang kurik itu kundi ,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi ,
Yang indah itu bahasa.
( 800 PATAH KATA )
KOH YUN XIN
4 BISTARI



RENCANA

Punca-Punca Terhadap Ancaman Terhadap Biodiversiti dan Langkah-Langkah yang Perlu Diambil oleh Golongan Remaja Bagi Membantu Negara Memulihara Biodiversiti Negara.

Oleh: Nur Asilah binti Azmi

Menurut sains, perkataan biodiversiti berasal daripada dua perkataan, iaitu ‘bio’ yang membawa maksud kehidupan manakala ‘diversiti’ pula bermakna kepelbagaian. Gabungan dua perkataan ini mendukung maksud kepelbagaian kehidupan ataupun boleh juga disebut sebagai kepelbagaian biologi. Biodiversiti mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan alam sekitar. Dengan kata lain, biodiversiti terdiri daripada flora, fauna, sumber air dan juga geosains atau lebih popular dengan nama mineral. Untuk lebih difahami, secara keseluruhannya, biodiversitit membawa takrif kewujudan berbagai-bagai spesies tumbuhan dan haiwan dalam persekitaran semula jadi mereka. Negara kita, Malaysia sangat bertuah kerana mengalami iklim Khatulistiwa yang panas dan lembap sepanjang tahun. Faktor ini telah merangsang pertumbuhan pelbagai spesies tumbuhan dan haiwan di Malaysia. Dengan keluasan hutan dianggarkan 58.2% daripada keseluruhan keluasan bekas tanah jajahan British ini, tidak janggal sama sekali jika Malaysia telah diiktiraf sebagai salah sebuah negara antara dua belas negara yang mempunyai biodiversiti terbesar di dunia pada tahun 1992.
Setiap ciptaan dan kurniaan Allah di jagatraya ini sudah tentu mempunyai sebab tertentu dan membawa manfaat kepada manusia. Biodiversiti memainkan peranan yang sangat penting sebagai sumber keperluan asas manusia yang paling utama iaitu makanan, pakaian dan ubat-ubatan. Sebagai contoh, tanaman ulam-ulaman seperti pucuk paku sebagai makanan, buah kapas dapat diproses menjadi pakaian manakala tumbuh-tumbuhan seperti spesies Tongkat Ali dan Kacip Fatimah boleh mengubati penyakit. Selain itu, biodiversiti juga memainkan watak penting dalam fungsi ekosistem dengan melakukan kerja-kerja seperti mengitar semula air, menstabilkan cuaca dan menyuburkan tanah, misalnya tumbuhan hijau membantu menyerap gas karbon dioksida bagi mengelakkan cuaca yang begitu panas dan melalui proses penguraian semula jadi yang unik, flora dan fauna yang mati boleh dijadikan baja untuk menyuburkan tanah. Biodiversiti juga mempunyai nilai estetik yang tersendiri. Kepelbagaian spesies dan warna flora dan fauna memberi kesempatan kepada makhluk Allah manusia beriadah dan menikmati keindahannya sambil memanjatkan rasa syukur dan kagum kepada Allah Yang Maha Esa atas ciptaan yang pelbagai rupa yang menakjubkan. Sebagai contoh tempat yang membolehkan kita bersantai dan menikmati keindahan flora dan fauna ialah Pulau Redang. Yang paling utama, jika dilakukan dengan cara yang betul, kepelbagaian biologi ini juga boleh membantu pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Pokok balak boleh dieksport ke luar negara dan tempat-tempat tertentu boleh dipromosikan sebagai tempat perlancongan. Hal ini seterusnya boleh menjana pendapatan negara dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
Namun begitu, kealpaan manusia dalam menjalankan tanggungjawab memakmurkan alam serta melindungi flora dan fauna menyebabkan biodiversiti di negara kita semakin terancam. Terdapat pelbagai punca yang boleh mengancam kewujudan biodiversiti di Malaysia. Ancaman yang paling berbahaya adalah daripada manusia. Lihat sahajalah di sekeliling kita. Pencemaran, pembalakan dan penggondolan hutan, semuanya berlaku kerana perbuatan tidak bertanggungjawab manusia. Hutan-hutan yang dilapangkan untuk tujuan pembangunan telah menyebabkan habitat flora dan fauna musnah. Selain itu, sikap tamak dan mata duitan manusia mengeksploitasi sumber alam secara besar-besaran telah mengancam dan membunuh biodiversiti. Di samping itu, dasar dan polisi pemerintahan yang terlalu obses dengan pembangunan bagi membolehkan negara berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan England turut memburukkan keadaan biodiversiti yang sudah sedia ada terancam. Kesimpulannya, perbuatan manusia sememangnya mengancam biodiversiti negara.
Perubahan iklim sejagat turut mengancam biodiversiti di Malaysia. Kedudukan Malaysia yang berkeluasan 329 733 kilometer persegi yang begitu hampir dengan Garisan Khatulistiwa menyebabkan Malaysia mengalami suhu tinggi 27°C sepanjang tahun dan hujan lebat kira-kira 2 600 mm setahun. Faktor ini menyebabkan pertumbuhan spesies flora dan fauna yang banyak dan subur dan seterusnya membentuk biodiversiti besar seperti sekarang. Namun begitu, iklim dunia yang seakan-akan tidak menentu dan suhu yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini boleh memusnahkan biodiversiti. Kurangnya tumbuh-tumbuhan hijau bagi menyerap gas karbon dioksida telah menyebabkan satu-satunya planet dalam Sistem Suria yang dapat menampung kehidupan, iaitu bumi kita mengalami kesan rumah hijau. Akibatnya, gas-gas karbon dioksida telah memerangkap haba daripada matahari dan menyebabkan suhu bumi meningkat. Banyak spesies haiwan dan tumbuh-tumbuhan pupus kerana tidak mampu bertahan dengan cuaca yang tidak lagi sesuai dengan sistem biologi mereka. Oleh itu, jelaslah bahawa kepupusan flora dan fauna juga berpunca daripada perubahan iklim.
Selain itu, punca lain yang mengancam biodiversiti di Malaysia ialah serangan penyakit. Perkara ini sememangnya menjadi lumrah kehidupan. Sesetengah jenis flora dan fauna mempunyai sistem imun yang rendah dan mudah diserang penyakit. Kematian spesies-spesies ini juga boleh mengancam biodiversiti. Di samping itu, seperkara lagi yang tidak dapat dielakkan ialah penaklukan spesies bagi menguasai habitat-habitat tertentu dalam sisitem biodiversity . Persaingan dan simbiosis wujud di mana-mana sahaja. Dalam sesuatu ekosistem turut berlaku persaingan dan pergaduhan merebut koloni. Pada kebiasaannya, spesies yang kuat akan memenangi pergaduhan dan menakluk kawasan tersebut, manakala spesies yang lemah mungkin mati sebagai akibat daripada pergaduhan tersebut. Oleh itu, dapat kita simpulkan bahawa sesetengah perkara yang menjadi lumrah turut mengancam biodiversiti.
Oleh itu, berpegang pada peribahasa Melayu, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”, masyarakat khususnya golongan remaja dan belia perlulah bekerjasama membantu negara memulihara biodiversiti negara. Lazimnya, golongan remaja sering kali berpendapat bahawa mereka tidak perlu membantu memulihara biodiversiti dan alam sekitar atas pelbagai alasan. Antaranya ialah mereka masih bersekolah, mereka sibuk dengan aktiviti di sekolah, meluangkan masa dengan keluarga dan rakan-rakan dan seribu satu dalih yang lain. Hakikatnya, golongan remaja hari ini boleh bekerjasama memulihara biodiversiti melalui pelbagai program yang dirangka oleh agensi kerajaan seperti Jabatan Alam Sekitar yang bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran Malaysia. Program-program dan aktiviti-aktiviti yang dirangka amat bersesuaian dengan golongan remaja dan langsung tidak membebankan sebaliknya memberi peluang kepada belia memberi sumbangan kepada negara.
Langkah yang pertama yang boleh diambil oleh golongan remaja ialah menyertai kempen alam sekitar. Saban tahun, kempen ini diuar-uarkan di seluruh negara melalui media cetak dan media elektronik. Oleh itu, remaja boleh mengambil pelbagai inisiatif, antaranya menganggotai Rakan Alam Sekitar. Sebagai menyahut seruan dan menunjukkan sokongan padu terhadap kempen alam sekitar ini. Program Rakan Alam Sekitar (RAS) peringkat kebangsaan telah berjaya dilancarkan pada 4 Jun 2009 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar dengan bertemakan ‘Pemanasan Global, Bertindak Sekarang’. Antara aktiviti yang dijalankan oleh Rakan Alam Sekitar ialah gotong-royong, penanaman pokok, pengindahan dan peningkatan kualiti air sungai, seminar alam sekitar dan pembersihan pantai. Kempen ini boleh memupuk kesedaran dalam diri anak watan tentang nilai prihatin dan tanggungjawab terhadap alam sekitar. Oleh hal yang demikian, dapatlah kita rumuskan bahawa Rakan Alam Sekitar merupakan platform terbaik bagi remaja membantu memulihara biodiversiti dan segalanya terletak pada kehendak golongan remaja sendiri, bak kata pepatah, “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”.
Bagi mengurangkan kemusnahan hutan dan sumber mineral, pihak kerajaan yang menerajui pemerintahan negara ini telah melancarkan kempen kitar semula menggunakan tong tiga warna. Tong bewarna biru untuk kertas dan surat khabar, tong bewarna coklat untuk botol kaca, manakala tong bewarna oren untuk tin aluminium dan plastik. Langkah ini merupakan antara langkah yang paling bijak bagi memulihara biodiversiti. Hal ini kerana dengan kitar semula, pelbagai sumber alam seperti kayu balak dan bahan galian dan mineral seperti aluminium tidak perlu dieksploitasi secara besar-besaran kerana bahan-bahan yang sedia ada yang telah digunakan dapat diproses semula untuk menjadi produk yang baru. Golongan belia seharusnya menyambut baik kempen ini dan kumpulkan segala bahan yang boleh dikitar semula. Tambahan pula, tong tiga warna itu boleh didapati di mana-mana sahaja, termasuk di sekolah. Tuntasnya, kitar semula boleh membantu memulihara biodiversiti negara.
Langkah seterusnya adalah dengan menyertai seminar atau bengkel alam sekitar. Seminar atau bengkel ini merupakan jalan terbaik untuk membentuk perasaan cinta dan sayang terhadap alam sekitar. Selain itu, seminar atau bengkel ini dapat menyemai dan memupuk sikap prihatin dan rasa bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Bersesuaian dengan peribahasa, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”, pendedahan terhadap kepentingan menguruskan alam sekitar dan sumber biodiversiti dengan baik terhadap masyarakat khususnya belia dan kanak-kanak kecil penting bagi membentuk sikap dan tingkah laku manusia apabila menguruskan sumber biodiversiti dan alam sekitar. Oleh itu, dapat kita simpulkan bahawa pendedahan sejak kecil amat penting bagi membantu memulihara biodiversiti.
Apakah pula peranan remaja yang bergelar siswa dan siswi di institut pengajian tinggi? Sebenarnya, siswa dan siswi yang berada di pusat-pusat pengajian tinggi boleh memainkan peranan untuk memelihara biodiversiti dengan menggunakan kreativiti mereka, mereka cipta alat-alat jentera dan elektonik yang mesra alam. Hal ini telah dibuktikan oleh sekumpulan pelajar dari Universiti Putera Malaysia apabila berjaya menghasilkan enjin kenderaan yang menggunakan minyak kepala sawit sebagai bahan bakar. Hasil penemuan ini, memungkin pengurangan pengunaan bahan-bahan galian seperti petrolium yang akhirnya mampu pula mengurangkan penggalian bahan mineral dari perut bumi. Natijahnya , kepelbagain biologi terutamanya hidupan laut dapat dipulihara dengan baik.
Natijahnya, kepupusan flora dan fauna di negara ini berpunca daripada sikap manusia yang bertindak sesuka hati, umpama “beraja di mata, bersultan di hati”. Sikap-sikap ini jugalah yang telah menimbulkan kesan yang tidak diingini terhadap biodiversiti seperti kematian kehidupan akuatik, kepupusan flora dan fauna dan pemanasan global yang menjejaskan kehidupan alam. Langkah-langkah pemuliharaan perlulah diambil dengan segera bagi memulihkan semula biodiversiti di negara kita. Hal ini semua adalah demi kebaikan semua umat manusia, bersesuaian dengan cogan kata, “Cintailah Alam Sekitar”. Ingatlah bahawa Allah SWT amat tidak menyukai orang-orang yang melakukan kerosakan di muka bumi maka peliharalah ala mini dari terus dimusnahkan oleh makhluk ciptaan bergelar manusia.
Nur Asilah Azmi
4 Cerdik 2010


PENDAPAT
CARA-CARA MENANGANI MASALAH SOSIAL DALAM KALANGAN REMAJA
- JALIAH SAADAH 4 BIJAK
Ketika negara sedang rancak menari bersama-sama arus pembangunan pada pascamerdeka ini, gejala sosial acap kali menjadi buah mulut di alma mater . Lebih-lebih lagi , permasalahan sosial dalam kalangan remaja yang sudah mencapai tahap yang membimbangkan . Walaupun pelbagai formula telah diaplikasikan untuk menyelesaikan masalah ini , namun semuanya bagai mencurah garam ke laut. Mungkinkah terdapat kesalahan dalam usaha-usaha tersebut ? Atau mungkin kini semua pihak perlu mengorak langkah untuk mengatasi masalah gejala sosial dalam kalangan remaja . Tirai dibuka untuk berbicara.

Sedang negara berusaha mencapai taraf lima bintang dalam bidang ekonomi , sosial dan politik , kerajaan merupakan jantung sesebuah negara. Kerajaan perlu mengorak langkah yang proaktif dan drastik dalam menangani masalah sosial remaja . Pada masa ini , kerajaan perlulah menggubal rang undang-undang juvana .Setelah diluluskan , pihak kerajaan perlu bergabung usaha dengan pihak polis dan swasta supaya undang-undang tersebut dapat diselaraskan dan diaplikasikan dalam masyarakat , contohnya remaja yang ditangkap membuli atau mencuri perlulah diletakkan di dalam sebuah sekolah remaja bermasalah . Dengan cara ini , remaja akan takut dan insaf kerana mereka tidak mahu dipisahkan dengan keluarga dan sahabat . Remaja yang sering terlibat dalam gejala sosial seperti mencuri atau merompak akan berfikir berulang kali untuk melakukan kesalahan . Natijahnya , undang-undang ini jangan hanya gah di atas kertas namun perlaksanaanya tidak ada . Kerajaan dan pihak swasta perlu bekerjasama dan jangan berpegang pada prinsip bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing ,
seperti ucapan mantan perdana menteri kita , Tun Dr.Mahathir ,

" sekolah merupakan sebuah kilang yang memproses modal insan yang berkualiti untuk menandingi ekonomi yang semakin ligat ." 

Kenyataan ini menunjukkan betapa pentingnya sekolah dalam mengajar dan mendidik remaja dari zaman persekolahan supaya menjadi orang yang berguna kelak . Proses pembelajaran yang menekankan nilai-nilai moral dan agama boleh disampaikan menerusi mata pelajaran Sivik dan Kewarganegaraan , Pendidikan Moral dan Pendidikan Agama Islam . Dengan ini , akidah dan asas keimanan remaja dapat ditanamkan dan seterusnya mereka akan mengaplikasikan nilai-nilai yang baik sesuai dengan nilai norma kehidupan yang murni . Cara penyampaian dan persefahaman antara guru dan murid juga dapat menjadikan mereka memahami antara satu sama lain dan dapat memperbetul dan mencorak tingkah laku dan adab-adab murid tersebut . Seperti kata penulis terkenal Malaysia ,Noordin Hassan , "guru yang sederhana memberitahu, guru yang baik menjelaskan , guru yang hebat menunjukkan cara dan guru yang agung menjadi inspirasi."
Keukuhan institusi kekeluargaan bagaikan cerucuk yang tegap dalam asas pembinaan sebuah bangunan . Jadi ibu bapa yang akan mengambil watak protagonis dalam mengukuhkan institusi tersebut . Sebagai ibu bapa , mereka perlu menonjolkan sikap yang baik , di samping menasihati anak-anak akan akibatnya jika menjadi remaja yang terjebak dengan dadah , seks bebas dan budaya lepak . Penerangan yang berhikmah dan tutur kata yang lembut dapat mendatangkan kesan keinsafan berbanding cemeti yang panjang dan kata-kata kesat . Penerapan asas agama daripada kecil perlu dititikberatkan . Amalan pantang-larang daripada generasi nenek moyang seperti larangan memotong kuku pada waktu malam , anak dara tidak elok duduk di serambi rumah dan makan menggunakan tangan kanan. Selain memelihara amalan-amalan ini supaya tidak dilupakan , ibu bapa juga dapat mendisplinkan cahaya mata mereka secara tidak langsung . Ibu bapa perlu mengelakkan prinsip seperti ketam mengajar anaknya berjalan dalam membentuk sebuah keluarga.

Dalam pada itu , media massa juga merupakan pihak perdana yang dapat menyumbang tenaga dalam mengatasi masalah gejala sosial dalam kalangan remaja . Remaja yang baru berumur setahun jagung sering kali tergelincir dari landasan keimanan . Tambahan pula corak penyiaran yang bertemakan keseronokan dunia sahaja disiarkan oleh televisyen . Media massa mahupun media cetak perlu menyiarkan progaram-program yang bertemakan ketuhanan dan drama-drama yang menekankan nilai-nilai moral . Tamsilannya , sebuah stesen televisyen , ASTRO yang menjadikan salah satu saluran penyiarannya hanya berorientasikan keagamaan , kisah-kisah teladan dan ceramah-ceramah menarik iaitu ASTRO OASIS. Kaedah ini bukan sahaja dapat menarik warga tua malah golongan remaja . Melalui inisiatif ini ,remaja akan menjadikan jurang dirinya dengan gejala sosial semakin jauh kerana mereka takut akan pembalasan di akhirat kelak. Untuk menjadikan pemuda harapan bangsa , pemudi tiang negara , semua pihak pengurusan televisyen tidak kira Melayu , Cina ataupun India , agama atau kepercayaan perlu menyediakan program-program sebegini .

Akhir sekali ialah keyakinan pada diri sendiri . Kelemahan ketahanan melawan hawa nafsu dan godaan merupakan faktor premier remaja terjebak dalam gejala sosial .Pegangan yang baik diikuti , yang jahat dijauhkan perlu ditanamkan dalam jiwa remaja . Tiada siapa yang dapat mengubah diri kita melainkan diri sendiri . Kini, zaman sudah berubah , negara kian maju, maka sudah mestilah pelbagai kebudayaan luar juga telah dibawa masuk . Namun remaja perlu berijtihad menggunakan akal yang dikurniakan untuk menyesuaikan kebudayaan Barat dengan kebudayaan sendiri. Perkara ini telah dapat ditunjukkan dalam proses pembentukan tamadun Indus yang akhirnya membawa kecermelangan tamadunnya.
Tiada kusut tidak dapat dileraikan , tiada masalah tidak dapat diselesaikanmaka sebagai sebuah negara yang ingin duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan negara-negara gergasi di duni, semestinya kita mahu mengurangkan masalah-masalah sosial daripada menular . Formula-formula yang telah dicipta dan langkah-langkah yang baru perlu dipraktikkan . Dalam sebuah masyarakat pula kita perlu berpegang pada prinsip menjaga tepi kain orang supaya kita dapat melahirkan masyarakat yang aman dan soleh . Jelaslah bahawa jalinan kerjasama antara kerajaan, sekolah , ibu bapa dan media massa amatlah diperlukan untuk mengekang gejala sosial yang semakin membimbangkan setiap jiwa dan perasaan anggota masyarakat. Yakinlah pada peribahasa bulat air kerana pembentung , bulat kata kerana muafakat mampu menghadang fenomena ini dari terus berleluasa dalam kalangan remaja.

JALIAH SAADAH
4 BIJAK
(768 patah perkataan )



Soalan: Gejala sosial dalam kalangan remaja semakin membimbangkan banyak pihak meskipun pelbagai usaha telah dilaksanakan, namun permasalahan ini masih mengalami jalan buntu untuk diselesaikan.

Bincangkan cara-cara untuk mengatasi masalah gejala sosial dalam kalangan remaja kini.


   Kesibukan ibu bapa dengan urusan kerja menyebabkan mereka mengabaikan anak-anak mereka. Kesannya, anak-anak tersebut tidak mendapat didikan yang cukup dan ketandusan kasih sayang dan perhatian oleh ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa perlulah meluangkan masa mendidik anak-anak tentang nilai-nilai murni dan menyemai sahsiah yang terpuji dalam diri mereka sejak mereka kecil lagi.Hal ini bersesuaian dengan peribahasa Melayu, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Sebagai contoh, ibu bapa boleh mengajar anak-anak cara-cara menghormati orang tua, tidak meninggikan suara ketika berbicara dengan orang yang lebih tua dan tidak kurang juga pengajaran nilai-nilai murni melalui buku cerita atau program kartun yang ditonton. Kebanyakan buku cerita akan mengetengahkan nilai moral yang dapat menjadi pedoman anak-anak. Didikan awal yang baik daripada ibu bapa membolehkan anak-anak berfikiran matang dan mampu membezakan yang baik dan buruk, dan seterusnya dapat mengelakkan diri daripada gejala sosial yang merosakkan diri. Oleh itu, jelaslah bahawa pendidikan tidak formal daripada ibu bapa dapat membentuk sahsiah anak-anak.

   Kronologi usaha berterusan sehingga anak-anak mencapai usia remaja. Usia ini sememangnya memberi cabaran yang hebat, baik kepada ibu bapa mahupun remaja itu sendiri. Pada usia ini, remaja mempunyai semangat inkuiri atau pun ingin tahu yang sangat tinggi. Mereka mahu mencuba perkara-perkara baru. Selain itu, mereka juga lebih mudah terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya mereka dan tidak kurang juga media massa. Mereka menjadikan artis-artis khususnya Barat sebagai idola mereka. Pada waktu ini juga jiwa mereka sangat sensitif dan akan memberontak jika ibu bapa melarang dan tidak mengikuti rentak dan kemahuan mereka. Ibu bapa hendaklah sentiasa memerhati gerak-geri anak-anak mereka dan sentiasa mengambil tahu kedudukan mereka berada jika mereka tidak bersama-sama keluarga. Siasat juga mengenai rakan-rakan mereka. Percaya atau tidak, kebanyakan masalah sosial dalam kalangan remaja berpunca daripada pengaruh negatif rakan sebaya. Ibu bapa perlulah memberi perhatian dan lebih peka akan keadaan anak-anak. Kesimpulannya, keprihatinan ibu bapa turut dapat mengatasi gejala sosial para remaja.

   Langkah yang seterusnya ialah penggubalan undang-undang yang ketat di sekolah. Masalah sosial seperti merokok, buli, vandalisme dan gangsterisme berleluasa di sekolah kerana kelemahan pelaksanaan undang-undang. Guru-guru lebih suka mengambil sikap mendiamkan diri dan menganggap masalah sebegitu hanyalah masalah kecil dan tidak perlu diambil pusing sangat. Peribahasa Melayu juga ada menyebut, ‘ombak kecil jangan ditidakkan’ yang bermaksud masalah kecil perlu juga diambil perhatian kerana ditakuti kelak berkemungkinan besar akan menjadi masalah yang besar. Hukuman yang berat juga perlu dilaksanakan di sekolah seperti rotan,digantung sekolah mahupun dibuang. Hal ini kerana hukuman berbentuk menulis nama dalam kad disiplin dan melaporkan kepada ibu bapa sudak tidak efektif lagi. Malahan, masalah sosial semakin galak bercambah dalam kalangan remaja seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan. Sekurang-kurangnya, pelaksanaan hukuman berat dapat membuatkan pelajar berfikir banyak kali sebelum melakukan perbuatan negatif. Rumusannya, undang-undang ketat di sekolah dapat sedikit sebanyak mengurangkan masalah sosial.

   Selain itu, institusi pendidikan juga dapat memainkan peranan dalam mengatasi masalah sosial remaja melalui pengajaran mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan serta Pendidikan Moral. Hal ini demikian kerana melalui mata pelajaran Sivik dan Moral, para pelajar akan didedahkan secara lebih formal dan terperinci mengenai kepentingan mengamalkan nilai-nilai moral dalam masyarakat dan pengukuhan jati diri remaja. Dewasa ini, kita menyaksikan budaya Barat yang sedikit demi sedikit mengambil tempat dalam budaya masyarakat kita, umpama ‘gunting makan di hujung’. Oleh itu, pengukuhan jati diri remaja penting supaya mereka dapat menepis segala budaya dan perbuatan negatif. Itulah satu-satunya jalan keluar kerana pada era modenisasi ini, semakin mustahil untuk kita menghentikan segala bahan yang disiarkan di media elektronik dan juga yang dicetak di media cetak. Oleh itu, jelaslah bahawa mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan serta Pendidikan Moral penting untuk membina jati diri pelajar.

   Di samping itu, pihak berkuasa juga boleh turut serta memainkan watak dalam usaha mengatasi mesalah sosial remaja. Masalah ini dulunya hanya berkisar di sekitar kawasan sekolah, namun kini sudah merebak ke luar sekolah. Pihak berkuasa perlulah menguatkuasakan undang-undang yang lebih ketat dan jika perlu, menggubal mahu pun menetapkan undang-undang baru yang khusus untuk golongan remaja sahaja. Masalah seperti merempit, buli dan vandalisme tidak sedikit pun menunjukkan tanda berkurangan walaupun pelbagai usaha dilakukan kerana undang-undang sedia ada masih tidak menakutkan dan menggusarkan para remaja yang keruntuhan akhlak ini. Mereka berpendapat jika mereka ditangkap, mereka dapat dibebaskan kerana masih muda dan dikategorikan sebagai masih ‘budak-budak’ dan ‘belum cukup matang’. Undang-undang tegas perlulah dilaksanakan seperti denda yang lebih tinggi, hukuman tahanan atau pun penarikan lesen memandu mereka. Oleh itu, jelaslah undang-undang tegas dapat mengatasi msalah sosial.

   Langkah yang terakhir ialah usaha pihak polis melakukan rondaan di kawasan-kawasan tertentu. Gejala sosial seperti vandalisme dan merempit sehingga kini terjadi kerana kurangnya kegiatan rondaan dijalankan. Pihak polis seharusnya melakukan rondaan yang aktif pada waktu malam bagi mengelakkan kegiatan merempit khususnya di jalan-jalan besar dan menjadi laluan utama. Selain itu, rondaan juga perlu dijalankan di kawasan-kawasan sunyi kerana kebiasaannya vandalisme berlaku di kawasan sunyi dan tidak ramai orang. Dan yang paling penting, rondaan ini perlulah dilakukan secara berterusan dan bersungguh-sungguh seperti kata pepatah, ‘alang-alang mandi biarlah basah’.

   Kesimpulannya, masalah sosial ini perlulah diatasi dengan secepat mungkin sebelum masalah ini membunuh budaya masyarakat kita. Usahlah kita menuding jari kepada mana-mana pihak tentang punca permasalahan ini. Kita perlulah berganding bahu dan bekerjasama mengatasi gejala sosial ini kerana usaha secara kolektif kebiasaannya lebih berkesan daripada usaha perseorangan. Pepatah ada mengatakan, ‘mencegah itu lebih baik daripada mengubati’ dan semoga masalah sosial dalam kalangan remaja ini dapat segera diatasi.    

  ( 900 PATAH KATA)

 NUR ASILAH AZMI
4 CERDIK 2010/5 CERDAS 2011