Kecek – (V)
Awang Abdullah
1
seorang pengarah
membuka akaun semasanya
di sebuah bank ternama
tetapi dalam diam
dia mencantumkan
kemiskinan
orang lain
ke dalam amanahnya
yang telah lama pecah.
2
di kampung
seorang petani
membuka akaun kemiskinannya
di ruang kedaifan
dengan mengunci sedozen anak-anaknya
di dalam pagar sengsara
tetapi dia tidak pernah mencantum
kekayaan oang lain
ke dalam getirnya
yang sudah lama
berumbi.
3
di pantai
seorang nelayan
membuka akaun sengsaranya
di rahang laut ternganga
dan mengurung sederet anak-anaknya
di bawah pusaran nasib
tapi dia tidak pernah mengumpul
kesenangan orang lain
ke dalam kegusarannya
yang telah sekian musim
berlumut
di papan hidupnya.
4
Tuhan tidak pernah mungkir
mencatatkan setiap angka
dan nilai hitungan paling kecil
ke dalam akaun-Nya
Di rumah keadilan.
(Dewan Sastera, Mac 1989)
Doa Terakhir, 1995
Dewan Bahasa dan Pustaka
ANALISIS SAJAK
Maksud kecek ialah
i. Cakap
ii. Celoteh
iii. Borak
Celoteh dalam sajak ini ialah tentang kelakuan manusia yang sering dilihat dalam masyarakat kini.
Secara umum sajak ini membicarakan dua kelompok manusia
yang terdapat dalam kehidupan kita.
I. kelompok pertama ialah golongan yang tidak jujur dan amanah sedangkan hidup sudah berada dalam kesenangan/GOLONGAN KAYA
II. kelompok kedua ialah golongan yang daif tetapi tidak terfikir untuk menipu/
GOLONGAN MARHAEN
Secara terus terang dan jujur penyajak memberi peringatan tentang balasan tuhan terhadap semua perbuatan manusia sama ada baik atau jahat.
Manusia tidak dapat lari daripada janji Tuhan iaitu pengadilan seadil-adilnya di akhirat nanti.
TEMA
Kejujuran manusia
Secara sinis penyajak mengkritik sikap manusia yang tidak jujur dalam mencari harta kekayaan sehingga sanggup menipu dan pecah amanah terhadap kepercayaan yang diberikan.
Penyajak menegur sikap orang yang berpengaruh iaitu seorang pengarah yang pecah amanah membolot wang orang lain melalui akaun simpanan peribadinya di bank.
Penyajak membandingkan hidup petani dan nelayan yang daif dan miskin tetapi tidak pernah mengambil kesempatan untuk menipu orang lain untuk mencari kesenangan
PERSOALAN
i. Sikap tamak manusia yang sanggup menipu demi mengejar kekayaan tanpa mempeduli kesusahan orang lain
ii. Sifat tidak amanah dalam kalangan orang yang berada dan berpengaruh
iii. Golongan miskin yang tidak pernah mengambil kesempatan dengan kekayaan orang lain semata-mata mahu hidup senang
iv. Keadilan Tuhan terhadap manusia
v. Setiap perbuatan walaupun sekecil mana akan dinilai oleh Tuhan dengan saksama dan seadil-adilnya di akhirat nanti
vi. Manusia tidak akan dapat lari daripada pengadilan Tuhan
vii. Setiap perbuatan yang jahat akan mendapat balasan yang jahat sementara perbuatan yang baik akan dibalas dengan kebaikan oleh Tuhan
viii. Semua perbuatan manusia tidak akan terlepas daripada pengetahuan Tuhan.
NILAI
i. Kejujuran
Golongan petani dan nelayan yang susah tidak pernah menipu untuk mencari kesenangan hidup.
ii. Keadilan
Tuhan akan membalas perbuatan manusia seadil-adilnya
iii. Keredaan
Golongan nelayan dan petani reda dengan kesusahan hidup dan tidak pernah terfikir untuk menipu orang lain bagi mencari kesenangan
PENGAJARAN
i. Kita hendaklah memikul amanah yang diberi dengan jujur tanpa ada perasaan ingin menipu
ii. Kita hendaklah ingat dan takut akan balasan Tuhan jika terdetik mahu melakukan kesalahan
iii. Kita hendaklah menerima ketentuan hidup yang direncanakan Tuhan dengan reda dan ikhlas
iv. Kita mesti percaya akan keadilan Tuhan terhadap setiap perbuatan yang kita lakukan
v. Kita jangan mengambil kesempatan dengan kedudukan dan pengaruh kita untuk mengaut keuntungan peribadi
LATAR MASYARAKAT
i. Masyarakat yang berkuasa dan berpenagruh
Contoh; seorang pengarah yang mempunyai akaun semasa di bank
ii. Masyarakat yang miskin dan daif
Contoh: nelayan yang mempunyai sederet anak yang hidup susah
Petani yang mempunyai sedozen anak yang hidup susah
iii. Masyarakat yang tidak taat perintah tuhan
Contoh: seorang pengarah yang pecah amanah: mengumpul wang orang lain ke dalam akaun semasanya
iv. Masyarakat yang jujur/ikhlas/reda dalam kehidupan
Contoh: nelayan tidak pernah mengambil kesempatan untuk menipu walaupun hidup susah
v. Masyarakat yang rosak akhlak
Contoh: seorang pengarah yang pecah amanah dengan mengambil wang orang lain dan dimasukkan ke dalam simpanan peribadinya.
Maksud rangkap
1
seorang pengarah
membuka akaun semasanya
di sebuah bank ternama
tetapi dalam diam
dia mencantumkan
kemiskinan
orang lain
ke dalam amanahnya
yang telah lama pecah.
Seorang pengarah yang pecah amanah terhadap tanggungjawabnya. Dia mengumpul harta kekayaan peribadi melalui harta golongan yang kurang berada secara halus tanpa dapat dikesan/melalui jalan penipuan.
2
di kampung
seorang petani
membuka akaun kemiskinannya
di ruang kedaifan
dengan mengunci sedozen anak-anaknya
di dalam pagar sengsara
tetapi dia tidak pernah mencantum
kekayaan oang lain
ke dalam getirnya
yang sudah lama
berumbi.
Kehidupan seorang petani miskin di kampung; mempunyai 12 orang anak yangsudah lama hidup dalam kesusahan tetapi tidak pernah mengambil harta kekayaan orang lain untuk mengatasi kesengsaraan hidupnya. Petani ini tidak pernah terfikir untuk menipu sesiapa.
3
di pantai
seorang nelayan
membuka akaun sengsaranya
di rahang laut ternganga
dan mengurung sederet anak-anaknya
di bawah pusaran nasib
tapi dia tidak pernah mengumpul
kesenangan orang lain
ke dalam kegusarannya
yang telah sekian musim
berlumut
di papan hidupnya.
Kehidupan seorang nelayan dengan anak-anak yang ramai . Hidupnya susah namun tidak pernah terfikir untuk merampas kesenangan orang lain untuk mengatasi kesempitan hidup yang telah lama dideritainya.
4
Tuhan tidak pernah mungkir
mencatatkan setiap angka
dan nilai hitungan paling kecil
ke dalam akaun-Nya
di rumah keadilan.
Tuhan sentiasa menghitung amalan manusia walaupun sangat kecil amalan tersebut. Tuhan mencatat setiap perbutan manusia untuk diadili dengan saksama di akhirat kelak.
LATIHAN KENDIRI
Maksud rangkai kata
a. tapi dia tidak pernah mengumpul
kesenangan orang lain
ke dalam kegusarannya
b. Huraikan sebab-sebab seorang ketua mesti amanah ketika menjalankan tugas
c. Pada pendapat anda, mengapakah Tuhan melarang kita menipu orang lain
untuk kesenangan diri sendiri ?
d. Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah yang boleh dilaksanakan untuk mengelak kejadian pecah manah berlaku dalam kalangan masyarakat.
e. Huraikan tiga pengajaran daripada sajak di atas
CABARAN MINDA
Cabaran 1
Manakah yang lebih baik
Hidup senang melalui penipuan
ATAU
Hidup susah tetapi jujur dan tiada dengki di hati akan
kesenangan orang lain
cabaran 2
Anda diberi lima billion ringgit dengan syarat anda mesti meluluskan projek mega yang menjadi rebutan ramai ahli koporat........
Lima juta ringgit mampu memberi kehidupan yang sangat mewah .
Apa tindakan anda... terima atau tolak?
bagus...complete semua jugak semua...
BalasPadamTerima kasih. Sngat mambantu.
BalasPadamsajak ni ada rangkap keseluruhan x ??
BalasPadammmg bagus lah, sgat bermanfaat bagi saya...tq
BalasPadam